[TERKINI] PRN Sabah: PN tampil 41 calon, 90 peratus muka baharu
![[TERKINI] PRN Sabah: PN tampil 41 calon, 90 peratus muka baharu [TERKINI] PRN Sabah: PN tampil 41 calon, 90 peratus muka baharu](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81762849597_TBBN.jpg)
Majlis Pengumuman Calon PN Sabah, di Penampang hari ini. - Foto Astro AWANI
PENAMPANG: Perikatan Nasional (PN) hari ini mengumumkan bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan barisan calon antaranya terdiri daripada gabungan muka baharu.
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional (PN) mengumumkan 41 calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan majoriti calon merupakan muka baharu dan 30 peratus adalah calon muda, selepas proses tapisan ketat.
- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding di 33 kerusi, Pas di lima dan Gerakan di tiga kerusi dalam PRN Sabah ke-17.
- Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keutamaan Kerajaan Negeri Sabah harus difokuskan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air yang masih menjadi isu utama di negeri tersebut.
"Walaupun muka baharu, namun mereka masing-masing mempunyai rekod yang agak baik dan cemerlang, baik dari segi profesion mereka.
"Sebahagian besar umur masih muda, dan saya sebut tadi semua mereka telah melalui proses saringan-saringan yang penting untuk menentukan, calon yang diletakkan ini betul-betul berkelayakan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PN Sabah, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Muhyiddin menjelaskan daripada jumlah tersebut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diagihkan sebanyak 33 kerusi, Pas sebanyak lima manakala Gerakan (tiga).
Katanya, semua parti komponen akan menggunakan logo PN pada PRN17, dengan 'poster boy' dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan bahawa 41 kerusi yang ditandingi di Sabah adalah mencukupi serta berpaksikan kepada penilaian yang teliti dan munasabah.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui satu siri proses penelitian terhadap setiap kawasan yang berpotensi untuk ditandingi oleh parti berkenaan.
"Kami merasakan bahawa jumlah itu sudah lebih daripada mencukupi bagi keperluan kami apabila kami menang untuk membentuk kerajaan.
"Kami telah melalui satu siri proses meneliti setiap kawasan yang kami ingin tandingi, dan ini adalah jumlah yang kami rasa munasabah serta boleh dilaksanakan," ujar beliau.
Beliau turut mengakui bahawa parti-parti lain mungkin berminat untuk bertanding di kerusi yang sama, namun menegaskan perkara itu tidak menjadi isu bagi PN.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, sekiranya gabungan tersebut diberikan mandat dan kuasa untuk mentadbir Sabah, keutamaan Kerajaan Negeri haruslah ditetapkan dengan jelas, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur asas.
Beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada perancangan yang terperinci dan menyeluruh bagi menyelesaikan masalah infrastruktur seperti bekalan elektrik dan air yang masih menjadi isu utama di negeri itu.
Muhyiddin menambah, Kerajaan Negeri wajar menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti setiap aspek berkaitan isu bekalan elektrik yang tidak efisien di beberapa kawasan di Sabah.
"Kita perlu lihat mengapa bekalan elektrik masih menghadapi masalah besar... bekalannya sangat tidak efisien. Apa yang perlu dilakukan, di mana masalah berlaku, dan bila ia boleh diselesaikan, sama ada dalam jangka pendek, sederhana atau panjang. Jadi pelan mesti disediakan dengan jelas," katanya.
Mengenai bekalan air pula, beliau berpandangan Sabah sebenarnya mempunyai sumber air yang mencukupi, namun pengurusan dan agihan tidak dilaksanakan dengan baik.
Pada PRN Sabah ke-16 yang diadakan pada 2020, PN memenangi 17 kerusi DUN, terdiri daripada 11 kerusi oleh Bersatu dan enam kerusi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Gabungan itu ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

