POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: "Saya akan menang. You wanna bet with me?" - Pandikar

Hasimi Muhamad 12/11/2025 | 06:50 MYT
Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau percaya peluangnya kali ini jauh lebih cerah. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan keyakinan penuh akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.


Ringkasan AI
  • Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan keyakinan penuh pada kemenangan kerusi DUN Pintasan pada PRN ke-17 berdasarkan sokongan akar umbi dan pengalaman politiknya yang lalu.
  • Pandikar menegaskan bahawa kehadiran penyokong pada Majlis Pengumuman Calon GRS tidak mencerminkan sokongan sebenar pengundi di kawasan DUN Pintasan, dan meyakinkan bahawa beliau pasti akan menang.
  • Beliau percaya bahawa proses pemilihan calon GRS telah dijalankan dengan teliti untuk memastikan kemenangan gabungan tersebut, sambil mengakui kemungkinan berlakunya boikot dalam kalangan pengundi adalah lumrah dalam pilihan raya.


Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berkata, berdasarkan sokongan akar umbi serta pengalaman lalu, beliau percaya peluangnya kali ini jauh lebih cerah.

Beliau juga menjelaskan, kehadiran penyokong pada Majlis Pengumuman Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini, tidak menggambarkan sokongan sebenar pengundi di kawasan DUN Pintasan.

"Saya mesti pastikan kerusi ini saya menang... orang-orang yang ada di sana itu bukan pengundi di kawasan saya. Mereka semua datang dari tempat lain. Jadi, kenapa kamu kata mereka itu (tidak menyokong saya?).

"Komen saya ialah, saya akan menang. You wanna bet with me? (Kamu mahu bertaruh dengan saya?) Ada sesiapa yang mahu bertaruh dengan saya bahawa saya akan menang?

"Saya yakin, saya mesti pastikan kemenangan ini. Kalau kamu tidak yakin, kamu mahu bertaruh dengan saya? Ada sesiapa mahu bertaruh?," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Mengimbas kembali keputusan PRN Sabah pada 2020, Pandikar berkata ketika itu beliau bertanding atas tiket USNO, dan hanya tewas tipis sebanyak 84 undi.

"Ketika itu, saya tersepit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Saya dapat undi 2,660, dan kalah 84 undi sahaja. Sekarang ini, saya calon daripada parti kerajaan," ujarnya lagi.

Pandikar turut menzahirkan kepercayaan terhadap proses pemilihan calon GRS, yang menurutnya telah dibuat dengan teliti bagi memastikan kemenangan gabungan tersebut.

Mengenai kemungkinan berlakunya boikot dalam kalangan pengundi pula, Pandikar berkata perkara itu adalah lumrah dalam mana-mana pilihan raya.

"Dalam pilihan raya apa-apa pun, ada sabotaj. Itu terpulang kepada calon masing-masing. Dalam GRS pun ada saingan daripada parti lain. Tapi bagi saya, saya mesti pastikan saya menang," tegasnya.

Pada PRN16, Datuk Fairuz Renddan menang kerusi Pintasan dengan 2,744 undi, menewaskan Pandikar dan tiga calon lain.

GRS bertanding di 55 kerusi DUN pada PRN kali ini dengan agihan melibatkan enam parti komponen termasuk Gagasan Rakyat, USNO dan Parti Cinta Sabah (PCS).
#PRN Sabah 2025 #Pandikar Amin Mulia #USNO #DUN Pintasan