Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: "Saya tidak takut berunding dengan Persekutuan mengenai 40 peratus hasil" - Hajiji

Hasimi Muhamad 18/11/2025 | 09:30 MYT
Hajiji berkata, ketegasannya dalam rundingan tidak pernah dibuat demi meraih sokongan politik semata-mata, sebaliknya demi memastikan hak Sabah dipertahankan. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BELUD: Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa beliau tidak pernah gentar untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menuntut hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tidak gentar untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan demi menuntut hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tanpa niat mencari sokongan politik semata-mata.
  • Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk tidak merayu tuntutan Sabah mengenai 40 peratus hasil bersih Persekutuan, yang berakhir dengan keputusan tidak merayu daripada Kerajaan Persekutuan.
  • Perbincangan rasmi mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti yang terkandung dalam MA63 telah bermula, dengan harapan mekanisme pelaksanaan akan diselesaikan dalam masa terdekat setelah proses undang-undang dan penelitian teknikal.


Menurut Ketua Menteri Sabah itu, ketegasannya dalam rundingan tidak pernah dibuat demi meraih sokongan politik semata-mata, sebaliknya demi memastikan hak Sabah dipertahankan.

"Walaupun saya begini, saya tidak pernah takut berunding dengan Kerajaan Persekutuan.

"Dalam suara MA63, sayalah yang paling banyak bercakap. Boleh tanya. Sampai kadang-kadang Perdana Menteri cakap, ‘Hajiji nampak lembut, sentimental, tapi rupa-rupanya dalam suara dia keras juga'," kata Hajiji ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Kempen 'Rumah Kita, Kita Jaga' di Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Tempasuk di sini pada Selasa.

RISE OF THE VOTERS: Kenali Haiwan Jiwa Anda. Klik untuk bermain!

Dalam ucapan sama, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mendedahkan bahawa beliau sendiri meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak membuat rayuan terhadap tuntutan Sabah mengenai 40 peratus hasil bersih Persekutuan.

“Saya beritahu Perdana Menteri... buat penyataan jangan merayu esok. Beliau telefon saya, cakap...insya-Allah Hajiji, kita tidak akan merayu tentang 40 peratus untuk Sabah.

“Yang mereka rayu itu hanya ayat-ayat yang dirasakan tidak adil kepada pimpinan dahulu, baik Kerajaan Persekutuan mahupun Sabah. Itu saja,” katanya.

Beliau menambah perkara utama ialah Kerajaan Persekutuan tidak merayu terhadap tuntutan 40 peratus itu, dan proses undang-undang yang sedang berjalan adalah bagi memastikan semua pihak diberi keadilan.

Hajiji turut memaklumkan bahawa perbincangan rasmi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mengenai isu berkenaan telah mula dilaksanakan pada Isnin.

Sementara itu, beliau ketika ditemui media selepas program berkenaan berkata pihaknya optimis mengenai mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti termaktub dalam MA63, akan selesai dalam tempoh masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata perincian mengenai mekanisme tersebut belum dapat didedahkan memandangkan perbincangan melibatkan hal-hal teknikal yang memerlukan penelitian.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri telah menetapkan jumlah tertentu untuk pembayaran khas 40 peratus, Hajiji berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

"Kita ada masa lagi, mahkamah beri kita tiga bulan atau 90 hari untuk berbincang. Jadi baru diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Kita pun tidak tahu berapa hasil yang dipungut daripada negeri Sabah secara jelas. Ini yang kita minta pihak Persekutuan maklumkan. Dan agihan peruntukan, apa yang di bawah 40 peratus, apa yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kepada Negeri Sabah," ujar beliau lagi.
#PRN Sabah 2025 #hak 40 peratus hasil Sabah #MA63 #Hajiji Noor