Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Seminggu berkempen "pertempuran" sebenar di alam maya

Bernama 22/11/2025 | 10:30 MYT
Perang bendera parti di sekitar pekan Kunak sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Genap seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berlangsung, hampir semua jalan utama sama ada di bandar raya ini mahupun di sekitar pekan daerah lain dipenuhi bendera dan poster parti politik yang bertanding.


Ringkasan AI
  • Kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 melibatkan bendera dan poster parti politik di jalan utama, namun pertempuran sebenar berlaku di media sosial dengan penggunaan video, gambar, dan AI untuk mempengaruhi pengundi, khususnya generasi muda.
  • Media sosial menjadi sumber maklumat politik utama di Sabah, di mana 45% pengundi mendapat maklumat melalui platform tersebut berbanding media elektronik (25%) dan cetak (5.9%), menunjukkan pergeseran landskap media.
  • Isu-isu seperti tadbir urus, kepimpinan, pembangunan, ekonomi, dan MA63 mendominasi kempen, dengan fokus yang berbeza berdasarkan kawasan, yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi, sementara parti-parti mula memperkenalkan manifesto masing-masing.


Namun, di sebalik kemeriahan kempen fizikal, pertempuran sebenar PRN ini semakin hangat di alam maya dengan pelbagai bahan seperti video, gambar dan kandungan kecerdasan buatan (AI) mengandungi pencapaian, janji ataupun dasar parti serta calon demi memenangi hati pengundi.

Penyelidik Unit Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata situasi itu tidak mengejutkan memandangkan media sosial kini menjadi sumber maklumat pilihan utama khususnya dalam kalangan generasi muda.

Pensyarah Kanan UMS itu berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, 45 peratus responden terdiri daripada pengundi berusia 18 hingga 60 tahun di Sabah mendapatkan maklumat politik melalui media sosial, jauh lebih tinggi berbanding 25 peratus yang memilih media elektronik.

"Menarik perhatian juga apabila 17 peratus daripada responden ini mendapatkan maklumat politik mereka daripada ahli keluarga menunjukkan keluarga boleh memainkan peranan dalam penyaluran maklumat politik dalam kempen pilihan raya ini.

"Hanya 5.9 peratus responden memilih mendapatkan maklumat politik mereka melalui media cetak, mencerminkan perubahan landskap media masa kini apabila media sosial menguasai dan media cetak semakin kekurangan pengaruhnya," katanya kepada Bernama.

KENALI HERO SABAH ANDA DI SINI... MAIN SEKARANG!

Haryati berkata aplikasi WhatsApp kekal sebagai platform media sosial paling digemari pengundi Sabah dengan 42 peratus responden memilihnya, diikuti TikTok (36 peratus), Facebook (32 peratus), YouTube (13 peratus) dan platform lain.

Sementara itu, Ketua Unit Jaringan dan Pembangunan Profesional UMS Dr Faerozh Madli berkata di sebalik kemeriahan kempen media sosial, pengundi terutama generasi muda yang tidak mempunyai literasi digital berisiko terjebak dengan maklumat palsu dan manipulasi politik.

Beliau berkata penggunaan teknologi AI secara tidak bertanggungjawab dalam media sosial bagi meraih sokongan atau menyerang lawan juga membimbangkan kerana ini boleh mempengaruhi pengundi yang tidak celik digital.

"Apabila AI sudah menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat, ia merisaukan jika ramai pengguna terperangkap dalam halusinasi digital... jika 'AI berhalusinasi' seterusnya mengeluarkan data tidak tepat, maka data tidak tepat akan memerangkap pilihan pengundi," katanya.

LAPORAN KOMPREHENSIF, CALON TUMPUAN DAN PERKEMBANGAN TERKINI PRN SABAH

Isu tadbir urus, kepimpinan, pembangunan, ekonomi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mendominasi kempen seminggu ini, bagaimanapun isu yang dimainkan itu mempunyai kesan berbeza kepada pengundi berdasarkan kawasan.

Menurut kajian Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, isu tadbir urus antara lain melibatkan pentadbiran, salah laku rasuah, perkhidmatan awam dan isu MA63 menjadi perhatian pengundi di Pantai Barat disebabkan akses media luas dan literasi lebih tinggi.

Pensyarah kanan pusat berkenaan Dr Amy Azuan Abdullah berkata di kawasan pedalaman, isu pembangunan dan ekonomi lebih mendominasi kempen, berikutan keperluan mendesak terhadap infrastruktur asas seperti jalan, air dan elektrik serta peluang ekonomi yang lebih baik.

Beliau berkata di Pantai Timu pula, coraknya lebih bercampur dengan di bahagian utara, isu pembangunan dan ekonomi lebih menonjol memandangkan kawasan seperti Sandakan mengalami perkembangan ekonomi pesat dan memerlukan lebih banyak peluang perniagaan serta pekerjaan.

Sementara itu, di bahagian selatan seperti Tawau, isu kepimpinan serta kemampuan pemimpin dan politik mendominasi kempen seiring struktur politik yang kompleks di kawasan tersebut, malah terdapat parti yang hanya fokus di kawasan berkenaan seperti Parti Harapan Rakyat Sabah.

"Sudah tentu parti politik menggunakan isu ini sesuai di kawasan yang dikenal pasti bagi memastikan fokus kempen benar-benar berkesan, " katanya.

Parti-parti yang bertanding telah mula membentangkan manifesto masing-masing dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) antara yang terawal memperkenalkan manifesto berteraskan "Rumah Kita, Kita Jaga" dengan tema "Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan" pada 17 Nov lepas, manakala Perikatan Nasional (PN) semalam.

Barisan Nasional melancarkan manifestonya hari ini dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat manakala Pakatan Harapan dijadual membentangkan manifesto mereka esok.

Bagaimanapun, Penyelidik GeoPES UMS Azizan H Morshidi berpendapat masih terlalu awal untuk menilai manifesto-manifesto itu berikutan parti bertanding baru membentangkannya, namun pengundi akan lebih menilai keupayaan pelaksanaannya nanti.

"Literasi pengundi yang lebih baik membolehkan mereka membezakan antara janji manis dan janji realiti, selain manifesto dijanjikan mereka akan menilai juga sama ada calon serta parti itu mampu melaksanakan atau janji hanya tinggal janji," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA

#PRN Sabah #kempen #alam maya #terkini