POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Shafie Apdal pertahan Senallang, Leiking tidak tersenarai

Khalis Khadir 12/11/2025 | 07:00 MYT
Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna adalah salah seorang calon daripada tiga Ahli Parlimen Warisan yang akan berentap dalam PRN Sabah kali ini.
KOLOMBONG: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi disandangnya sejak dua penggal lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahankan kerusi DUN Senallang dalam PRN Sabah ke-17, menentang dua Ahli Parlimen Warisan lain, termasuk Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Isnaraissah Munirah Majilis.
  • Fauziah Stephens, anak kepada Tun Fuad Stephens, akan turut bertanding di Bengkoka bagi mewakili Warisan, menandakan warisan politik keluarga yang penting.
  • Keputusan untuk tidak memasukkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking sebagai calon, dengan mencalonkan Naib Presiden mereka, Terrence Siambun di Moyog, menarik perhatian dalam PRN Sabah kali ini.


Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna adalah salah seorang calon daripada tiga Ahli Parlimen Warisan yang akan berentap dalam PRN kali ini.

Dua lagi calon ialah Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal yang akan bertanding di kerusi Silam, serta Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang bertanding di DUN Usukan.

Turut bertanding atas tiket Warisan ialah Fauziah Stephens, anak kepada Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Fuad Stephens yang akan bertanding di Bengkoka iaitu tempat kelahirannya, sekali gus menandakan simbolik kepada warisan politik keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking tidak tersenarai sebagai calon, sebaliknya parti itu mencalonkan Naib Presiden mereka, Terrence Siambun di Moyog, kerusi dimenangi Leiking dalam PRN Sabah pada 2020.

Naib Presiden Warisan, Daud Yusof pula akan bertanding di Bongawan yang berpotensi mencetuskan pertembungan dengan Presiden Parti Cinta Sabah, Tan Sri Anifah Aman dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dari Barisan Nasional.

Seorang lagi Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong akan mempertahankan Tanjung Aru, kawasan yang turut dicabar Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin.

Antara pemimpin Warisan lain yang tidak bertanding pada PRN kali ini ialah Setiausaha Agung, Datuk Loretto Padua Jr dan Ketua Penerangan, Datuk Mohd Azis Jamman.

#PRN Sabah #Warisan #Shafie Apdal #Darell Leiking #terkini