Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: SPR nafi tuduhan pemantauan luar biasa terhadap calon, parti

Bernama 23/11/2025 | 08:10 MYT
Baru-baru ini, seorang calon daripada sebuah parti politik mendakwa pegawai SPR seolah-olah mengekori calon parti tersebut dalam semua program kempen mereka. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberi tumpuan khusus atau menyasarkan mana-mana parti mahupun pihak-pihak tertentu, kata Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus.


Ringkasan AI
  • Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang ditubuhkan oleh SPR tidak memihak mana-mana parti atau pihak tertentu sepanjang kempen PRN Sabah ke-17.
  • Setiausaha SPR menegaskan aduan pengawasan luar biasa terhadap calon atau parti tertentu adalah tidak benar; pihak yang curiga disarankan membuat aduan rasmi kepada SPR.
  • SPR menetapkan 25 Nov sebagai undi awal dan 29 Nov sebagai hari pengundian, dengan jumlah pengundi kira-kira 1.78 juta pada PRN Sabah ke-17.


Beliau berkata aduan pengawasan luar biasa terhadap calon atau parti tertentu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah tidak benar.

"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan disarankan membuat aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa berkaitan terhadap sebarang salah laku, kecurigaan atau sebarang aduan tentang ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

KENALI HERO SABAH ANDA DI SINI... MAIN SEKARANG!

LAPORAN KOMPREHENSIF, CALON TUMPUAN DAN PERKEMBANGAN TERKINI PRN SABAH


Khairul Shahril berkata SPR sentiasa mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam PRN Sabah untuk terus mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa sepanjang proses itu berlangsung bagi memastikan keamanan dan integriti pilihan raya dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau bekata PPKPR ditubuhkan sebagai mana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertujuan memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.

Beliau berkata bagi melaksanakan tanggungjawab itu, pasukan penguat kuasa tersebut akan menjalankan pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti kempen calon bertanding dan menasihati agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

Baru-baru ini, seorang calon daripada sebuah parti politik mendakwa pegawai SPR seolah-olah mengekori calon parti tersebut dalam semua program kempen mereka.

SPR menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.

-- BERNAMA
#PRN Sabah 2025 #SPR #pemantauan luar biasa SPR #Khairul Shahril Idrus