POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Suhaimi Nasir yakin BN mampu rampas semula Sabah, tekad bawa pembaharuan di Sungai Sibuga

Syaff Syukri 13/11/2025 | 16:31 MYT
Suhaimi berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pendekatan BN yang menampilkan ramai calon muda, profesional dan berintegriti. - Astro AWANI
SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, menyatakan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula pentadbiran kerajaan negeri Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Suhaimi, yang akan bertanding buat pertama kali di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada pendekatan BN yang menampilkan ramai calon muda, profesional dan berintegriti berbanding parti lain yang masih menurunkan calon 'kitar semula'.

Tambahnya, rakyat kini semakin bijak menilai dan lebih cenderung memilih calon yang mempunyai kemampuan mentadbir serta integriti tinggi berbanding semata-mata berasaskan parti.

“Calon-calon BN kali ini hampir 80 peratus muka baharu. Tidak ada calon ‘recycle’ atau yang sudah lompat empat hingga lima kali tetapi masih dicalonkan semula seperti parti lain.

“Kegagalan sesebuah kerajaan bukan disebabkan rakyat, tetapi berpunca daripada kepimpinan.

“Sebab itu rakyat hari ini mahu pemimpin yang berpotensi untuk mentadbir dengan baik dan ikhlas berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Sepilok, sebelum memulakan mesyuarat bersama Ketua Daerah Mengundi bagi DUN Sungai Sibuga dan DUN Sungai Manila pada Khamis.

Selain itu, Suhaimi turut menegaskan bahawa BN kekal sebagai gabungan yang mempunyai struktur pentadbiran tersusun dan pengalaman luas dalam mengurus tadbir negeri.

Ini jelasnya berdasarkan isu-isu asas yang membelenggu rakyat seperti masalah air dan elektrik, yang menurutnya semakin meruncing selepas BN tewas pada 2018.

“Semasa zaman BN, kita tidak berdepan masalah air yang serius seperti sekarang.

“Tetapi selepas Warisan mengambil alih, isu ini berlarutan sehingga hari ini.

“InsyaAllah, apabila kerajaan BN terbentuk semula pada 29 November nanti, kita akan selesaikan masalah ‘tiga serangkai’ ini, air, elektrik dan infrastruktur,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan bekerja keras memastikan kemenangan BN di Sungai Sibuga, sambil menyifatkan kawasan itu sebagai penting untuk menyumbang kepada pembentukan semula kerajaan negeri.

“Walaupun saya merupakan Ahli Parlimen, saya akan turun membantu di peringkat akar umbi kerana Sungai Sibuga adalah kawasan strategik.

“Saya mahu pastikan BN menang di sini untuk menyumbang kepada kerajaan negeri yang stabil dan kukuh,” jelasnya.

Sungai Sibuga merupakan kubu kuat BN dan pada PRN Sabah ke-16, parti itu berjaya mencatat kemenangan bergaya menerusi Allahyarham Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain yang memperoleh 7,545 undi dalam saingan lima penjuru.

Bagaimanapun, Mohamad Hamsan meninggal dunia pada 19 Januari lalu di usia 65 tahun di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu akibat komplikasi beberapa penyakit.
#PRN Sabah #Suhaimi Nasir #Barisan Nasional #calon berintegriti #Politik Sabah #urus tadbir negeri