POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Szu Ching yakin DAP mampu pertahan DUN Tanjong Papat walau berdepan calon 'heavyweight'

Syaff Syukri 13/11/2025 | 10:15 MYT
Szu Ching (foto) menekankan pengalaman kerja dan sokongan masyarakat dalam memperjuangkan isu belia, peniaga kecil, dan pembangunan komuniti. -Gamnbar Astro AWANI
SANDAKAN: Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat, Tang Szu Ching, yakin mampu memenangi kerusi itu walaupun akan berdepan saingan penyandang, Datuk Frankie Poon, dari parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat (KDM).


Ringkasan AI
  • Calon DAP, Tang Szu Ching, yakin dapat menang kerusi DUN Tanjong Papat walaupun berdepan saingan Datuk Frankie Poon dari KDM.
  • Szu Ching menekankan pengalaman kerja dan sokongan masyarakat dalam memperjuangkan isu belia, peniaga kecil, dan pembangunan komuniti.
  • Beliau menarik perhatian untuk membawa suara anak muda ke peringkat pembuat dasar serta mendorong peniaga kecil beralih ke arah digitalisasi bagi kekal berdaya saing.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Szu Ching, 29, berkata keyakinannya berpaksikan pengalaman kerja serta sokongan masyarakat terhadap usaha DAP memperjuangkan isu belia, peniaga kecil dan pembangunan komuniti setempat.

“Laluan ini memang ada cabaran, tetapi saya yakin dengan pengalaman kerja dan hala tuju yang saya ingin bawa ke dalam Dewan Undangan Negeri.

“Saya percaya rakyat akan terus bersama dan menyokong kami,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, Khamis.

Tambahnya, beliau turut bercita-cita membawa suara anak muda ke peringkat pembuat dasar, termasuk menarik lebih ramai graduan kembali membangunkan Sandakan.

“Kita perlukan tenaga muda untuk membina masa depan Sandakan kerana kita lebih memahami keperluan dan haluan kita sendiri,” ujarnya.

Selain itu, Szu Ching berkata antara inisiatif yang pernah dijalankan termasuk memohon peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi kerja pembersihan di Kampung Sim Sim, yang merupakan destinasi pelancongan utama di Sandakan.

Pada masa sama, Szu Ching yang membesar dalam keluarga penjaja juga mahu membantu peniaga kecil beralih ke arah digitalisasi agar kekal berdaya saing.

“Saya membesar dengan menyaksikan ibu bapa saya berniaga di pasar, jadi saya faham cabaran penjaja. Dalam usaha menuju ke proses pendigitalan, mungkin mereka agak lambat.

“Tapi saya yakin warga Sandakan sanggup belajar dan kita akan bantu melalui kursus serta latihan supaya mereka tidak ketinggalan,” ujarnya lagi.

Dun Tanjong Papat merupakan kubu kuat Frankie selama dua penggal ketika bersama DAP, apabila berjaya mencatat kemenangan bergaya menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRN Sabah ke-16 pada 2020.

Frankie yang merupakan bekas Pengerusi DAP Sabah bagaimanapun membuat kejutan apabila mengumumkan keluar daripada DAP pada 11 Oktober lalu bersama pemimpin wanita DAP, Liau Fui Fui.

Menerusi kenyataan bersama, Frankie dan Fui Fui berkata keputusan tersebut dibuat selepas menilai secara teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini.



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Siapakah calon DAP yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat?
    A: Tang Szu Ching merupakan calon DAP yang bertanding bagi kerusi DUN Tanjong Papat.
  • Q: Apakah faktor yang diyakini Tang Szu Ching dapat memenangi kerusi itu?
    A: Tang Szu Ching yakin dapat memenangi kerusi itu berdasarkan pengalaman kerja dan sokongan masyarakat terhadap usaha DAP dalam memperjuangkan isu belia, peniaga kecil, dan pembangunan komuniti setempat.
  • Q: Apakah inisiatif yang pernah dijalankan oleh Tang Szu Ching untuk memajukan Sandakan?
    A: Tang Szu Ching pernah memohon peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi kerja pembersihan di Kampung Sim Sim, destinasi pelancongan utama di Sandakan, serta membantu peniaga kecil beralih ke arah digitalisasi melalui kursus dan latihan.


#PRN Sabah #Tang Szu Ching #calon DAP #DUN Tanjong Papat