POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: UMNO Sipitang umum tolak bantu calon PKR di Sindumin

Khalis Khadir 13/11/2025 | 16:05 MYT
Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abd Rahman Mohd Noh berkata, keputusan itu dibuat selepas UMNO Bahagian Sipitang tidak diberi peluang meletakkan calon BN di DUN berkenaan. - Foto hiasan/BERNAMA
KOTA KINABALU: UMNO Bahagian Sipitang menyatakan pendirian untuk tidak memberi sebarang kerjasama kepada PKR atau Pakatan Harapan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.


Ringkasan AI
  • UMNO Bahagian Sipitang menolak memberi kerjasama kepada PKR atau Pakatan Harapan di DUN Sindumin menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 kerana tidak diberi peluang meletakkan calon BN di kawasan tersebut.
  • Keputusan itu diumumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Sipitang sebulat suara untuk menutup bilik gerakan di 17 pusat daerah mengundi bagi kawasan DUN Sindumin serta mengehadkan penggunaan jentera BN kepada mana-mana parti lain untuk tujuan kempen politik.
  • Tindakan ini diambil bagi memastikan perjuangan dan maruah UMNO di Sipitang terus dipertahankan, seiring dengan prinsip solidariti parti, selepas PKR mengumumkan calonnya Datuk Yamani Hafez Musa akan bertanding di kawasan tersebut berbanding Warisan sebelum ini.


Ketuanya, Abd Rahman Mohd Noh berkata, keputusan itu dibuat selepas UMNO Bahagian Sipitang tidak diberi peluang meletakkan calon BN di DUN berkenaan.

“UMNO Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada parti PKR atau PH di DUN Sindumin selaras dalam Perlembagaan UMNO Perkara 20.11 dan 20.13 yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat daripada parti UMNO,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Abd Rahman, hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa UMNO Bahagian Sipitang sebulat suara memutuskan, seluruh bilik gerakan di 17 pusat daerah mengundi bagi kawasan DUN Sindumin ditutup serta-merta.

Sehubungan itu, jentera BN di kawasan berkenaan tidak dibenar digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan perjuangan dan maruah UMNO di kawasan Sipitang terus dipertahankan, selaras dengan semangat solidariti parti.

PKR pada 9 November lalu mengumumkan Datuk Yamani Hafez Musa akan bertanding di Sindumin, kerusi yang disandang oleh Warisan sebelum ini.

Yamani yang merupakan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN pada PRU 2018.

Beliau kemudiannya menyertai Bersatu dan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU 2022.
#PRN Sabah #UMNO #PKR #Sipitang #Sindumin