[TERKINI] PRN Sabah: UPKO belum adakan pertemuan dengan mana-mana parti - Ewon
![[TERKINI] PRN Sabah: UPKO belum adakan pertemuan dengan mana-mana parti - Ewon [TERKINI] PRN Sabah: UPKO belum adakan pertemuan dengan mana-mana parti - Ewon](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41762616996_TBEwonBenedick.jpg)
Ewon berkata, UPKO ketika ini sedang memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). - Gambar fail
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengesahkan belum mengadakan sebarang pertemuan dengan mana-mana parti politik tempatan selepas membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata walaupun terdapat pelbagai kenyataan dan spekulasi, tetapi UPKO ketika ini sedang memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang.
“Tiada, saya ingin sahkan bahawa walaupun ada kenyataan di media, belum ada sebarang pertemuan antara UPKO dengan mana-mana parti tempatan yang lain.
“UPKO baru sahaja membuat ketetapan untuk keluar daripada PH, dan kita mahu mengurus dahulu persiapan pilihan raya sebagai UPKO,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Konvensyen Rakyat dan Pelancaran Jelajah ‘Sabah First’ di Dewan Gawir, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ewon berkata UPKO terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti tempatan yang sehaluan dan berwawasan, khususnya dalam memperjuangkan agenda rakyat Sabah.
Katanya, UPKO membuka pintu untuk bekerjasama sama ada sebelum, semasa, atau selepas pilihan raya, terutama bagi menjayakan agenda ‘Sabah First’.
“Dalam perlembagaan parti UPKO, salah satu dinyatakan adalah bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, yang memahami dan bersetuju dengan wawasan kita.
“Jadi dalam konteks ini, seperti mana saya katakan, siapa lagi yang lebih memahami kehendak, keperluan, wawasan serta impian agenda rakyat Sabah itu, kalau bukan parti-parti tempatan Sabah itu sendiri,” tambahnya.
Pada 10 November lalu, UPKO memutuskan untuk keluar daripada PH berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang berlangsung pada Isnin.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

