POLITIK

TERKINI: PRN Sabah: UPKO umum keluar daripada PH

Hasimi Muhamad 10/11/2025 | 12:00 MYT
Nelson W Angang berkata, pengunduran UPKO akan dimaklumkan secara rasmi kepada Anwar dan parti-parti komponennya. - Gambar UPKO
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang berlangsung pada Isnin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Nelson W Angang berkata, pengunduran UPKO akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti-parti komponennya.

“Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda ‘Sabah First’ dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan juga perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nelson menambah UPKO menilai semula hala tuju perjuangan dan menyimpulkan hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang betul-betul memahami denyut nadi, jiwa, wawasan, serta impian masa depan Sabah.

Perjuangan tersebut katanya, berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya, hak 40 peratus hasil Persekutuan dari negeri.

Tambah beliau, UPKO juga kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.

“UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar MA63 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Dalam masa sama, UPKO juga berpendirian hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan.

Bagaimanapun, Nelson menegaskan ia mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan MA63.

Dengan pengunduran UPKO, PH Sabah kini terdiri daripada PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Hari ini, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Dalam satu hantaran di Facebook rasminya, beliau memaklumkan akan menghabiskan baki cuti yang masih ada bermula hari ini.

Sabtu lalu, Ewon mengumumkan keputusan untuk berundur daripada Kabinet susulan ketidaksefahaman dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Persekutuan daripada Sabah.



#UPKO #Kerajaan Perpaduan #PRN #Pakatan Harapan