Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

[TERKINI] PRN Sabah: Warisan lancar sistem rawatan air tanpa bahan kimia di Pitas

Hasimi Muhamad 16/11/2025 | 23:00 MYT
Fauziah (tengah) berkata, model berkenaan akan diperluaskan ke kampung lain, jika rakyat memberi mandat kepada Warisan. - Gambar ihsan Partis Warisan
BENGKOKA: Parti Warisan (Warisan) pada Ahad melancarkan sistem rawatan air mentah berteknologi tinggi tanpa bahan kimia di Kampung Dandun di sini, bagi mengatasi krisis air bersih yang menghimpit rakyat Bengkoka dan Pitas sejak bertahun-tahun.

Calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka, Fauziah Mohd Fuad Stephens berkata, projek tersebut membuktikan bahawa parti itu bekerja untuk rakyat walaupun bukan kerajaan.

"Masalah air di Bengkoka dan Pitas bukan soal teknikal lagi. Ini soal maruah rakyat. Sudah terlalu lama keluarga bangun jam 4 pagi hanya untuk mencari air.

"Sistem tersebut tidak menggunakan bahan kimia, mudah dikendalikan penduduk kampung, kos penyelenggaraan rendah, serta mampu menghasilkan air bersih selamat diminum.

"Ini bukan sekadar mesin. Ini menyelamatkan masa, kesihatan dan kehidupan orang kampung," kata beliau.

Fauziah menambah, model berkenaan akan diperluas ke kampung lain, jika rakyat memberi mandat kepada Warisan.

Beliau menegaskan, rakyat tidak boleh lagi menunggu janji demi janji dalam menyelesaikan isu asas berkenaan.

"Warisan tidak tunggu jawatan untuk berkhidmat. Kami turun padang, kami bawa penyelesaian, bukan alas an," ujarnya lagi.

Pelancaran sistem rawatan air mentah berteknologi tinggi tanpa bahan kimia dijangka memberi bekalan air bersih lebih stabil, penjimatan kos keluarga, peningkatan kesihatan, peluang komuniti, serta mengurus sistem sendiri.

Fauziah yang merupakan anak perempuan kepada Ketua Menteri Sabah pertama, antara calon wajah baharu dipertaruhkan Warisan di kerusi DUN Bengkoka.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kerusi DUN Bengkoka menyaksikan saingan 11 penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari mengundi, manakala 25 November sebagai undi awal.
#Calon PRN Sabah #pilihan raya negeri #Calon DUN Bengkoka #Fauziah Mohd Fuad Stephens