[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
POLITIK

[TERKINI] Rombakan Kabinet: Akmal Nasir, Zulkifli dan Arthur antara yang dinaikkan dari Timbalan ke Menteri

Seth Akmal 16/12/2025 | 09:29 MYT
Akmal (kiri) dilantik Menteri Ekonomi dan Arthur sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Lima timbalan menteri dinaikkan kepada jawatan menteri iaitu Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Datuk Arthur Joseph Kurup, Zulkifli Hasan, Datuk Seri R Ramanan dan Datuk Seri Noraini Ahmad.

Pertukaran portfolio tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media rombakan kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Sebelum ini, Akmal yang memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilantik sebagai Menteri Ekonomi menggantikan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Jawatannya itu kini digantikan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Timbalan Menteri Ekonomi kini dipegang Datuk Mohd Shahar Abdullah, menggantikan Datuk Hajar Hanifah Taib yang dipindahkan ke jawatan Timbalan Menteri Kesihatan.

Pada masa sama, jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam kini diisi oleh Datuk Arthur Joseph Kurup, menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sebelum ini, Arthur memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan portfolio beliau itu digantikan Chang Foong Hin, yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai selepas tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 pada Mei lalu.

Manakala Timbalan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Noraini kini dilantik menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi.

Jawatan beliau kini diganti oleh Lim Hui Ying yang sebelum ini menjawat sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Ramanan yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi kini dinaikkan selaku Menteri Sumber Manusia.

Sementara itu, Zulkifli Hasan yang sebelum ini merupakan timbalan menteri dinaikkan menjadi Menteri Hal Ehwal Agama, menggantikan Datuk Nai’m Mokhtar.

Jawatan timbalan bagi Zulkifli diisi oleh ahli akademik, Marhamah Rosli.


#Akmal Nasrullah Mohd Nasir #Joseph Kurup #rombakan kabinet #Malaysia Madani