POLITIK
[TERKINI] Tengku Zafrul letak jawatan dalam UMNO, mohon sertai PKR
Pengumuman mengejutkan itu dibuat oleh Tengku Zafrul, yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan rasmi pada malam ini - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat oleh Tengku Zafrul, yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan rasmi pada malam ini.
Menurut beliau, surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO dan telah meminta nasihat daripada pelbagai pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk daripada Presiden sendiri.
"Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi.
"Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian," katanya dalam kenyataan tersebut.
Susulan pengumuman tersebut, Tengku Zafrul berkata beliau telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden dan Setiausaha Agung parti tersebut.
Beliau menambah, akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang beliau aktif di dalam UMNO.
Tengku Zafrul, 51, mula menceburi arena politik sebagai Bendahari UMNO Selangor, yang menjadi titik penting dalam perjalanan politik beliau.
Bagaimapun, beliau meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April tahun lalu.
Selain itu, Tengku Zafrul pernah mencuba nasib dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 di Kuala Selangor tetapi tewas dengan hanya satu peratus undi.
Di peringkat parti, beliau merupakan ahli MKT UMNO.
Tengku Zafrul juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Oktober 2022.