POLITIK

[TERKINI] UPKO tampil 25 calon, beberapa kerusi bertembung dengan PH

Hasimi Muhamad 14/11/2025 | 13:00 MYT
Dalam senarai yang kemukakan, Ewon akan mempertahankan kerusi DUN Kadamaian, yang dimenanginya pada PRN16 - Foto Facebook Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menampilkan 25 calon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan komitmen memperjuangkan hak-hak negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Ringkasan AI
  • UPKO mendedahkan senarai 25 calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, dengan fokus memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
  • Datuk Ewon Benedick, Presiden UPKO, menegaskan komitmen untuk memimpin calon-calon parti menjalankan agenda "Sabah First" dengan kepimpinan berprinsip yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi negeri.
  • UPKO disebut bakal bertanding dengan calon dari Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan termasuk Inanam, Melalap, Gum-Gum, serta Kapayan, serta turut mengumumkan beberapa calon yang mempunyai latar belakang berbeza seperti usahawan, ahli Parlimen, bekas pegawai kerajaan, dan aktivis masyarakat sivil.


Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau akan mengetuai pasukan calon parti itu untuk menjayakan agenda “Sabah First” serta memastikan setiap calon mempamerkan kepimpinan berprinsip dengan prestasi yang boleh diukur.

"Saya juga akan memimpin calon-calon UPKO ini menawarkan kepimpinan berprinsip dengan tanda aras serta petunjuk prestasi kepada setiap mereka agar sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahli Parlimen Penampang itu menambah, selain memperjuangkan pelaksanaan hak 40 peratus hasil yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah, UPKO mahu memastikan dana itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembangunan infrastruktur, membasmi kemiskinan serta memperkasa ekonomi serta keusahawanan rakyat.

Dalam senarai yang kemukakan, Ewon akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, yang dimenanginya pada PRN16.

Calon-calon yang ditampilkan UPKO juga dijangka bertembung dengan beberapa calon daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk di DUN Inanam, Melalap, Gum-Gum serta Kapayan.

Selain itu, UPKO turut meletakkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di DUN Tamparuli, yang dijangka berdepan beberapa saingan termasuk daripada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Manakala, Setiausaha Agungnya, Datuk Nelson W Angang akan bertanding di kerusi DUN Limbahau.

Semalam, Ewon memaklumkan calon-calon UPKO terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan peniaga kecil, ahli Parlimen, bekas pegawai kerajaan serta aktivis masyarakat sivil.

Sebelum ini, UPKO telah memutuskan untuk keluar daripada PH, selepas empat tahun menjadi parti komponen gabungan tersebut.

Berikut senarai penuh calon UPKO:

1. Bengkoka: Junsim Rumunzing
2. Bandau: Suzie Salapan
3. Tandek: Jamil M Zakariah @ Majingkin
4. Kadamaian: Ewon Benedick
5. Tamparuli: Wilfred Madius Tangau
6. Kiulu: Joisin Romut
7. Inanam: Wong Thien Fook
8. Tanjung Aru: Dennison R Indang
9. Petagas: Lee Nyuk Soon @ Jason Lee
10. Tanjung Keramat: Rosday Wasli
11. Kapayan: Billy Joe Dominic
12. Moyog: Donald Peter Mojuntin
13. Limbahau: Nelson W Angang
14. Membakut: Rowindy Lawrence Odong
15. Kundasang: Rogers Tiam @ Aloysius
16. Karanaan: Georgina L George
17. Bingkor: Kennedy Jie John @ Kenn
18. Liawan: Wilson Gan Poi Tze
19. Melalap: Junik Bin Bajit
20. Tulid: Mohd Khairil Abdullah
21. Nabawan: Junilin @ Jubiliin Bin Kilan
22. Telupid: Felix Joseph Sitin
23. Labuk: Norfadzlina Binti Ramsah
24. Gum-Gum: Peter Jr Naintin
25. Kuamut: Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom
#PRN Sabah #senarai calon PRN Sabah #Perjanjian Malaysia 1963 #Pakatan Harapan