KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada konsep 'abang besar' atau 'parti dominan' dalam gabungan itu.

Presiden Bersatu itu berkata hal ini sekali gus membuktikan bahawa PN adalah sebuah gabungan yang membudayakan norma politik baharu yang lebih demokratik.

"PN dibentuk atas semangat perkongsian saksama dengan semua parti mendapat layanan yang adil dan saksama serta semua keputusan dibuat secara kolektif dalam semangat musyawarah dan setiakawan yang tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, tiga Naib Presiden Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen serta barisan kepimpinan tertinggi Bersatu.

Muhyiddin juga percaya rakyat sedang menilai rekod prestasi PN meskipun ia merupakan sebuah gabungan politik yang baharu.

"Walaupun kita sebuah gabungan politik yang baharu, kita berjaya membuktikan apabila kita menjadi kerajaan, kita prihatin kepada rakyat. Kita bantu semua golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

"Kita mentadbir dengan penuh integriti. Kita tidak sekali-kali seleweng wang rakyat dan tidak merompak harta negara. Dalam menjalankan pentadbiran negara, kita tidak melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati. Sebaliknya, kita ikut peraturan dan undang-undang dan kita hormat penjawat awam sebagai pelaksana dasar dan peraturan kerajaan," katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata untuk membolehkan Bersatu terus relevan seiring perubahan zaman, semua pihak perlu terus memperkukuh parti untuk memperteguh perpaduan sesama ahli dan melebarkan sayap ke pelusuk negara selain menubuhkan cawangan di semua bahagian.

Beliau berkata perhimpunan agung kali ini juga akan meluluskan pindaan perlembagaan parti bagi menubuhkan sayap Srikandi Muda yang diharap mampu menarik penyertaan lebih ramai wanita muda dalam wadah Bersatu.

Muhyiddin juga berkata keputusan menentukan tarikh pilihan raya umum akan datang bukan ditentukan oleh UMNO sahaja bahkan semua parti yang membentuk kerajaan.

"Rakan-Rakan yang lain terutama dalam PN akan duduk berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bila masa yang sesuai untuk pilihan raya. Itu antara terma (sokongan PN kepada Perdana Menteri)," katanya.

Beliau berkata soal pembubaran Parlimen adalah hak Perdana Menteri namun berpendapat ia seharusnya dibincangkan bersama komponen PN yang membentuk kerajaan.

-- BERNAMA