Tiada penggabungan MCA dan Gerakan, hanya kerjasama rapat

Hafiz Marzukhi
Januari 6, 2018 05:30 MYT
TIONG LAI: Untuk kita terus majukan negara, penting bagi kita mengukuhkan kerjasama.
Tiada penggabungan antara parti MCA dan Gerakan, hanya kerjasama rapat di bawah Barisan Nasional.
Ini ditegaskan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang memuji hubungan baik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Untuk kita terus majukan negara, penting bagi kita mengukuhkan kerjasama agar kita dapat meraih sokongan rakyat, terutamanya dari pengundi Cina.
"Kami telah merancang pelbagai pelan untuk menentukan halatuju komuniti dan kami yakin kedua-dua parti mampu mendapat sokongan dari rakyat," kata Tiong Lai.
Beliau turut mengumumkan bahawa kedua-dua parti akan mengadakan jelajah untuk menerangkan program dan visi negara di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong turut berkongsi pandangan tersebut dan menjamin komitmen penuh untuk bekerja rapat dengan MCA dalam berdepan PRU 14.
"Persepsi bahawa terdapat persengketaan antara MCA dan Gerakan perlu diubah bagi
memastikan jentera dari kedua-dua parti akan saling membantu calon parti masing-masing," kata Siew Keong.
Kedua-dua pemimpin berkata demikian ketika menghadiri Perhimpunan Teguh Bersama MCA-Gerakan yang diadakan di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur.
Dalam sejarah politik Malaysia, ini merupakan kali pertama MCA dan Gerakan mengadakan perhimpunan secara bersama sejak BN ditubuhkan pada 1974.
#GERAKAN #kaum cina #Liow Tiong Lai #MCA #pengundi #pilihan raya #PRU14