IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak yakin tidak akan berlaku pertembungan antara calon parti-parti komponen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun terdapat sedikit kecelaruan ketika ini.

Ia berdasarkan hubungan baik antara pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan di negeri ini, kata Pengerusi PN Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, pemimpin parti komponen PN telah sepakat untuk bertanding sebagai satu pasukan.

"Kami telah pun bersepakat akan bertanding sebagai satu pasukan. Jadi, kita tak ada memikirkan Pas ataupun Bersatu ataupun Gerakan.

"Apabila bertanding nanti, kita bertanding sebagai Perikatan Nasional, bukan mewakili mana-mana komponen, tetapi mewakili PN. Dan kami mewakili rakyat.

"Di Perak, saya nampak hubungan kami di dalam PN amat utuh dan saya doakan agar ia sentiasa dikuatkan lagi dan berterusan sehingga bila-bila," katanya.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan ditemui selepas merasmikan temasya sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan di sini, hari ini.

Sebelum ini, dikatakan berlaku percanggahan pendapat antara beberapa pemimpin Bersatu dan Pas mengenai calon di beberapa kawasan Parlimen di Perak.

Antaranya termasuk Parlimen Bagan Serai dan Bukit Gantang.

Ahmad Faizal yang yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, perkara tersebut bagaimanapun tidak dibincangkan di dalam mesyuarat PN Perak minggu lepas.

Menurutnya, mesyuarat itu membincangkan persiapan untuk menghadapi pilihan raya seperti memperkemas jentera dan merapatkan saf di antara kepimpinan parti komponen .