POLITIK

Tiada surat peletakan jawatan Akmal Saleh diterima - Asyraf Wajdi

Sinar Harian 09/01/2026 | 10:42 MYT
Sebelum ini, media tempatan melaporkan dakwaan Dr Muhamad Akmal menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan ADUN Merlimau. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO menafikan dakwaan Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sepertimana diperkatakan ramai baru-baru ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiada sebarang surat rasmi mengenai perkara tersebut diterimanyas setakat ini.

Menurut beliau, kedudukan kepimpinan UMNO tidak berpandukan kepada spekulasi atau khabar angin yang berlegar di media sosial.

“Setakat ini tiada surat rasmi diterima.

“Sebagai Setiausaha Agung parti, UMNO tidak berpandukan kepada apa yang diperkatakan di media sosial atau cakap-cakap yang berlegar-legar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di Menara Dato’ Onn di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, media tempatan mendakwa Dr Muhamad Akmal menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Dr Muhamad Akmal memaklumkan perkara tersebut kepada sekumpulan pemimpin sayap Pemuda menerusi pesanan ringkas dalam aplikasi WhatsApp pada Khamis.

Sementara itu, Asyraf Wajdi secara peribadi menasihati Dr Muhamad Akmal untuk tidak mengambil hati dari sudut perbezaan pendapat kerana ia perkara biasa dalam tradisi berorganisasi.

“Sebagai abang kepada Dr Muhamad Akmal yang juga bertanggungjawab meletakkan beliau di situ (Ketua Pemuda), perbezaan pandangan itu biasalah.

"Saya dulu pun pernah jadi Ketua Pemuda, pada satu ketika pandangan saya tidak diterima semua Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tetapi itu tidak menyebabkan kita perlu mengundurkan diri atau lemah semangat.

"Kadangkala pandangan kita diterima, kadang-kala tidak. Tetapi, paling penting dalam prinsip UMNO ini, kita sentiasa berpandukan kepada syura. ‘'Agree to disagree' dan kalau tak setuju, akhirnya kita akan ada kata sepakat," ujar beliau.

PAU 2025 menyaksikan seramai 6,412 perwakilan berdaftar dan bakal hadir ke acara tahunan itu, termasuk Wanita UMNO (1,995); Pergerakan Pemuda UMNO (1,173) dan Puteri UMNO (1,146). - Sinar Harian






#Akmal Saleh #Asyraf Wajdi Dusuki #Pemuda UMNO #letak jawatan