JOHOR BAHRU: Pendirian Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan keputusan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk tidak mengosongkan kerusi Parlimen Muar perlu dihormati semua pihak.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, itu merupakan hak MUDA dan terpulang kepada Syed Saddiq dalam menentukan hala tuju perjuangannya selepas tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH).

"Begitu juga saya menghormati tuntutan PH Muar yang mahukan Syed Saddiq mengosongkan kerusi, itu hak mereka untuk bersuara," katanya mengulas mengenai gesaan PH Muar supaya Syed Saddiq berundur dan melepaskan kerusi Parlimen Muar.

Terdahulu, Hassan merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Peniaga dan Usahawan Kecil dan Sederhana Daerah Johor Bahru di Pasar Borneo Johor di sini pada Sabtu.

Pada Rabu PH Muar dalam sidang akhbar khas menggesa Syed Saddiq mengosongkan kerusi Parlimen Muar untuk menyerahkan semula mandat kepada rakyat bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Susulan itu pada Sabtu, MUDA Parlimen Muar menegaskan tidak akan mengosongkan kerusi tersebut dan Syed Saddiq akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Sementara itu, Hassan yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Madani akan menunaikan apa yang terkandung dalam perjanjian penubuhan Malaysia melibatkan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 1963.

Katanya, segala permohonan, rayuan serta keperluan rakyat Sabah dan Sarawak termasuk tuntutan dalam perjanjian tersebut akan ditunaikan secara bersungguh-sungguh sama ada secara sekali gus atau berperingkat-peringkat.

Jelas beliau, ini akan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam perjanjian semasa bersetuju menubuhkan negara Malaysia sebelum ini.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian