IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah terfikir untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Walaupun UMNO terus kekal dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi hubungan antara majoriti pemimpin kedua-dua parti itu masih berjalan dengan baik.

Malah, kata Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, majoriti rakyat akar umbi juga boleh kerjasama dengan baik, walaupun ada sebilangan kecil yang masih keliru dengan agenda perjuangan sekarang.

"Tak terlintas pun di fikiran kami kerana kita telah nampak kerajaan sekarang berjalan dengan baik.

"Gagasan Keluarga Malaysia sedang diusahakan dengan meriah, disemarakkan dengan Hari Sukan Negara yang kita lakukan.

"Malam tadi dengan pelancaran Keluarga Malaysia, kita lihat everything is going very well.

"Insya-Allah kita akan teruskan dan kita mohon agar Allah permudahkan segala urusan kita," kata Ahmad Faizal.

Beliau ditemui selepas melepaskan peserta program berbasikal sempena Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Peringkat Parlimen Tambun bagi merebut Peja Trophy 2021 di Kampung Manjoi, di sini, pada Ahad.

Menurutnya, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang ingin bekerjasama dengan semua pihak untuk bersama-sama membangunkan negara.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada UMNO sama ada ingin bekerjasama atau tidak.

Pada Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu kekal dengan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya.

Menurutnya, perkara berkenaan sudah diputuskan oleh perwakilan parti itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lalu.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahmad Faizal berkata, mereka komited bersama-sama untuk terus memastikan agar undi orang Melayu khususnya tidak berpecah.

Dalam masa sama, mereka juga akan memastikan kerajaan negeri itu akan ditadbir oleh mereka yang benar-benar mahu memberi khidmat kepada rakyat, bukan mereka yang mementingkan kepentingan kumpulan atau diri sendiri.