KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan tidak timbul isu peletakan jawatannya buat masa ini kerana beliau masih mahu berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan memaklumkan, sedang fokus menjalankan kerja untuk menjayakan agenda rakyat seperti yang dijanjikan ketika mengangkat sumpah jawatan.

"Kita (saya) buat penegasan, antara polemik politik dengan kerja kita kepada rakyat jangan disatukan.

"Dan itulah sebab, walau apa perkara berlaku dalam UMNO, peranan kita dalam kerajaan yang telah angkat sumpah kepada Yang di-Pertuan Agong, kita harus fokus kepada agenda-agenda rakyat," ujarnya.

Annuar berkata demikian dalam rancangan Agenda AWANI yang dikendalikan Dzulfitri Yusof pada Selasa.


Jangan diaduk polemik politik dengan tugas kepada rakyat - Annuar Musa

Pada masa sama, Annuar juga menekankan supaya semua wakil rakyat yang dipilih mengamalkan sikap yang sama supaya rakyat tidak terabai hanya disebabkan masalah politik dalam parti.

Katanya, banyak kerja yang perlu diselesaikan untuk rakyat terutamanya dalam situasi genting ketika ini.

"Sekarang ni rakyat boleh rasa tenang sebab Perdana Menteri nyatakan beliau tak minat dengan polemik politik. Beliau mahu semua  menteri-menteri duduk fokus dan jalankan kerja menjayakan agenda rakyat.

"Jadi untuk kepentingan rakyat, agenda rakyat cabaran banyak, kerja kita banyak, masalah rakyat yang hilang kerja, harga barang naik, masalah pasca COVID-19, jadi kita fokus kerja untuk rakyat sementara urusan kepartian akan kita lalui mengikut jalur peraturan dan Perlembangaan parti," katanya lagi.