Skip to main content

Politik

Tidak timbul isu UMNO ingin jadi Menteri Besar, tebuk atap di Negeri Sembilan - MKT UMNO

Sumber: Sinar Harian
Mohd Razlan Muhammad Rafii (tengah) bersama Mohd Raqib (kanan) ketika berlangsung Program Interviu bertajuk 'Lapan Dekad UMNO : Bertahan Atau Berubah?' di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, 28 April 2026. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bukan disebabkan ingin menguasai negeri itu dengan cara menebuk atap seperti didakwa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii sebaliknya menjelaskan, keputusan itu dibuat disebabkan kegagalan pentadbiran yang diterajui Aminuddin menangani krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan secara harmoni dan teratur.

Advertisement

"Tidak timbul isu untuk kita ingin mendapat kuasa Menteri Besar, sebabnya kalau hendak buat (UMNO jadi Menteri Besar), kita buat daripada awal kerana daripada awal lagi desakan untuk kita tubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional tetapi kita tidak mengambil kesempatan itu untuk kita menebuk atap.

"Tetapi apabila krisis ini terjadi, adakah kita nak diam? Adakah ADUN-ADUN Negeri Sembilan ini akan melihat sahaja institusi raja ini sehingga hancur lebur? TIdak boleh. Sebab kami ini, orang UMNO diamanahkan untuk menjaga institusi raja.

"Itu sebab pada pandangan saya tidak timbul isu tebuk atap. Tidak timbul isu untuk merebut kuasa. Kita kena lihat perkara yang terjadi hari ini adalah perkara di antara pertembungan adat dan institusi raja yang tak diurus dengan baik. Kalau kita urus dengan baik, perkara ini tak timbul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Program Interviu 'Lapan Dekad UMNO: Bertahan Atau Berubah yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian semalam.

Program yang dikendalikan Haizir Othman itu turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan.

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak mengisytihar menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Sebelum ini Aminuddin dalam kenyataannya memaklumkan, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra luak berkenaan.

Berikutan krisis berkenaan juga, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, pada Isnin, UMNO Negeri Sembilan membuat kejutan apabila mengisytiharkan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddun.

Keputusan dibuat berikutan ADUN terbabit yang semuanya mewakili UMNO tidak selari dengan tindakan Aminuddin dalam menyelesaikan kemelut membabitkan adat dan perlembagaan negeri.

Malah, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa mereka sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila mendapat sokongan lima ADUN Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, 14 ADUN BN Negeri Sembilan tidak akan bertindak sedemikian sekiranya syarat yang diberikan sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan dipatuhi.

Menurutnya, antara syarat diberikan ialah tidak menyentuh institusi raja, perlembagaan dan orang Islam yang sememangnya menjadi pegangan parti itu.

"Bagi pandangan saya hendak menuduh UMNO menebuk atap, UMNO hendak mencari peluang untuk menjadi Menteri Besar ini tidak timbul, kalau hendak dari dulu lagi kita boleh buat.

"Tetapi kita tidak buat kerana tidak ada keperluan. Janji UMNO itu tetap janji. Kita akan bersama dengan kerajaan. Ini tetap sampai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Tetapi dengan syarat seperti yang saya sebutkan tadi," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video