POLITIK

Tidak wajar parti dalam Kerajaan Perpaduan ambil ahli gabungan - MKT UMNO

Astro Awani 30/06/2025 | 15:53 MYT
Tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti gabungan itu, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto Facebook Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR: Tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli dalam kalangan parti gabungan itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi mengelak tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam kerajaan.
"UMNO merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidakharmonian dalam Kerajaan," katanya.
Perkara itu merupakan antara lima perkara yang diperincikan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Isnin.
Asyraf menambah, UMNO juga akan melaksanakan satu kajian separuh penggal bagi menilai keberkesanan serta prestasi Kerajaan Perpaduan.
"Kajian ini termasuk menilai peranan dan pencapaian pemimpin UMNO dalam pentadbiran kerajaan serta prestasi agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan yang diterajui oleh parti itu," jelasnya.
Selain itu, kata beliau, MKT boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras Perlembagaan UMNO Fasal 20.12
Dalam perkembangan lain, MKT bersetuju tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 ditunda kepada 26hb hingga 29hb November 2025.
Ini bagi memberi ruang kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Katanya, PRN Sabah perlu diadakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini, namun ada spekulasi mengatakan ia bakal berlangsung lebih awal.
Selain itu, UMNO turut merakamkan penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak atas kerjasama dalam menguruskan bantuan kepada mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik, yang meragut nyawa 15 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
#UMNO #Perhimpunan Agung UMNO #Asyraf Wajdi Dusuki #Sabah