POLITIK
Tiga Ahli Dewan Negara angkat sumpah senator hari ini

Mereka yang mengangkat sumpah adalah Ketua Cabang PKR Rembau Dr Jufitri Joha, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Datuk Wu Him Ven dan veteran DAP Datuk Leong Ngah Ngah. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Tiga Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini.
Ringkasan AI
- Dr Jufitri Joha, Datuk Wu Him Ven dan Datuk Leong Ngah Ngah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara.
- Jufitri dan Wu dilantik oleh DUN Negeri Sembilan untuk tempoh tiga tahun, manakala Leong dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hingga Ogos 2028, selaras dengan Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
- Ketiga-tiga senator bertekad menyuarakan isu rakyat, memperkukuh demokrasi dan memastikan Dewan Negara kekal bebas daripada pengaruh politik dalam membuat keputusan.
Awang Bemee dalam ucapannya mengucapkan tahniah atas pelantikan ketiga-tiga Ahli Dewan Negara itu dan mengingatkan agar institusi senat Dewan Negara dimartabatkan sebagai badan legislatif tertinggi negara dan melontarkan idea, pandangan serta cadangan yang benar-benar bebas daripada pengaruh peribadi dan politik dalam memutuskan sesuatu rang undang-undang atau usul.
"Pelantikan ini berlandaskan Perkara 45(1)(a) yang memperuntukkan setiap negeri memilih dua ahli untuk menganggotai Dewan Negara supaya mereka ada suara di badan legislatif tertinggi di Malaysia yang berperanan menyemak serta mengimbang pihak eksekutif dan Dewan Rakyat berasaskan prinsip pengasingan kuasa.
"Selamat menggalas amanah dan menjalankan tugas kepada kesemua ahli Yang Berhormat Senator baharu ini," katanya.
Sementara itu, Jufitri dalam sidang media berharap dapat menggunakan pengalamannya untuk menyuarakan pelbagai isu bagi memastikan kesejahteraan rakyat manakala Wu berharap dapat menyuburkan semangat demokrasi melalui hujah yang jitu terhadap polisi dan dasar dalam persidangan.
Leong pula berharap dapat menggunakan pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Pahang selama 28 tahun bagi menyuarakan pelbagai isu bagi memastikan isu rakyat akan dapat terus diangkat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami