Tindakan BN tarik balik sokongan pada PN ibarat gali kubur sendiri - Penganalisis

Fauzi Suhaimi
Januari 12, 2021 08:43 MYT
Mujibu berkata, penarikan sokongan terhadap Perikatan Nasional tidak boleh dilihat di peringkat Persekutuan sahaja, malah perlu dinilai secara menyeluruh termasuk di peringkat negeri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan Barisan Nasional (BN) yang bertindak menarik sokongan dalam Perikatan Nasional (PN) ibarat menggali kubur sendiri.
Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana, perkara itu tidak boleh dilihat di peringkat Persekutuan semata-mata, malah perlu dinilai secara menyeluruh termasuk di peringkat negeri.
"BN tidak boleh melihat dalam konteks di peringkat Persekutuan dan perlu dilihat di negeri yang mana ada beberapa negeri dikuasai oleh PN seperti di Johor, Perak, Kedah, Melaka dan Sabah.
"Jika penarikan itu dibuat, sudah pasti ia akan turut menjejaskan negeri berkenaan," katanya dalam temubual menerusi Buletin AWANI Khas di sini pada Selasa.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz secara rasmi hari ini mengumumkan beliau menarik balik sokongan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Nazri Aziz tarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub juga mengambil pendirian yang sama dengan Mohamed Nazri.
BACA: Ahmad Jazlan tarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional
Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi menzahirkan prinsip tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan PN.
Dalam pada itu, Mujibu menjangkakan negara berdepan dengan pertentangan politik khususnya membabitkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas tamat tempoh proklamasi darurat pada 1 Ogos depan.
"Ketika ini, kerajaan bagaimanapun masih berfungsi seperti biasa dalam tempoh darurat ini," ujarnya.
#Muhyiddin Yassin #Nazri Aziz #Parlimen #UMNO #Barisan Nasional #PPBM #penganalisis politik #Perikatan Nasional #Bersatu