Tindakan Mohd Puad waras, bijaksana - Hishammuddin

Sinar Harian
April 29, 2018 22:12 MYT
Pada Sabtu, Mohd Puad (gambar) menerusi catatan Facebook berkata sebagai Bangsa Johor, beliau akhirnya mengambil keputusan tidak bertanding atas tiket bebas setelah mendapat nasihat Sultan Johor. - Gambar fail
Tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi membatalkan hasratnya untuk tidak bertanding atas tiket bebas merupakan keputusan yang waras dan bijaksana.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan tersebut disambut baik berikutan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu menerima nasihat daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya tidak bertanding.
Menurutnya, tindakan Mohd Puad juga menunjukkan pemimpin negeri ini sentiasa meletakkan konsep ‘Muafakat Johor’ sebagai keutamaan sekali gus mengutamakan nilai perjuangan parti daripada nafsu peribadi.
BACA: 'Saya tidak bertanding atas nasihat Sultan Johor' - Puad Zarkashi
BACA: Mohd Puad lepas jawatan KP Jasa kerana tak tercalon
“Saya kenal Puad (Mohd Puad) dari dulu lagi. Tuanku (Sultan Ibrahim), saya rasa memberi titah dan nasihat yang melihat pertimbangan negeri kita sendiri.
“Tuanku tidak mahu melihat pemimpin kita kerana marah, emosi atau kedudukan semasa membuat keputusan yang akhirnya menjejaskan kredibiliti pemimpin berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal di Kampung India, Paloh, di sini, pada Ahad.
Pada Sabtu, Mohd Puad menerusi catatan Facebook berkata sebagai Bangsa Johor, beliau akhirnya mengambil keputusan tidak bertanding atas tiket bebas setelah mendapat nasihat Sultan Johor.
Mohd Puad sebelum ini dikatakan akan bertanding sebagai calon bebas kerana kecewa namanya tidak dicalonkan dalam PRU14 sebaliknya digantikan dengan Haliza Abdullah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat.
Namun, sehingga tempoh penamaan calon tamat semalam, kehadiran Mohd Puad di pusat penamaan calon di Batu Pahat tidak kelihatan untuk memberikan saingan.
#Facebook #Hishammuddin Hussein #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #Mohd Puad Zarkashi #PRU14 #Sultan Ibrahim #Sultan Johor #UMNO