KUALA LUMPUR: Dakwaan Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz bahawa beliau disenarai hitam daripada memegang sebarang pertubuhan berdaftar adalah tidak tepat.

Sebaliknya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menjelaskan, tindakan yang dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka (Nombor pendaftaran: PPM002-10-03112017) melalui notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) pada 28 Oktober 2022.

“JPPM ingin menegaskan bahawa tindakan ini adalah berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur.

“Ia juga berdasarkan kepada kuasa yang termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Berdasarkan laporan media pada Jumaat, Amira Aisya memperoleh kebenaran meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan JPPM menyenaraihitamkan dirinya sehingga tidak boleh memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan berdaftar.

Merujuk salinan afidavit sokongan terhadap semakan kehakimannya bertarikh 13 Julai, Amira Aisya mendakwa dia mendapat tahu dirinya telah disenaraihitamkan melalui hantaran emel daripada JPPM bertarikh 18 April.

Tambah JPPM, tindakan tersebut turut mengikat beliau di bawah Seksyen 49 dalam akta yang sama. - Sinar Harian