Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup menegaskan bahawa pendekatan politik kebencian yang dianjurkan DAP tidak mempunyai tempat dalam kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, termasuk di Sabah.

Kurup, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata oleh itu, beliau kesal apabila ahli politik kanan DAP Lim Kit Siang bukan sahaja tidak memahami dan menghargai perkara itu, malah terus berusaha untuk mencemarkan hati dan minda rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, termasuk yang tinggal di Sabah, dengan politik kebenciannya yang meruap-ruap.

"Nampaknya, tiada had langsung yang sanggup dilakukan ahli politik seperti Lim Kit Siang ini, asalkan matlamatnya untuk melebarkan pengaruh DAP di Sabah tercapai. Ini termasuklah memupuk politik bersifat melampau di bumi Pensiangan (sebuah daerah pedalaman Sabah) yang tenang dan damai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kurup juga mengingatkan Lim bahawa walaupun orang Sabah baik hati, tetapi mereka tidak akan sekali-kali mengetepikan prinsip asas mereka yang menolak semua bentuk sikap pelampau dalam bidang politik dan agama daripada mana-mana pihak, terutama parti politik dari Semenanjung seperti DAP.

Katanya parti pembangkang itu tidak pernah menjadi faktor positif dalam demografi politik di Sabah.

Beliau mencabar Lim supaya menunjukkan sumbangan DAP kepada rakyat Sabah, khususnya di Pensiangan, pada dekad sebelum ini sebagai bukti tentang komitmen dan sikap sayang parti itu kepada mereka.

"Tak kisahlah rekod sebelum ini mengenai langkah Lim Kit Siang bertanding di pelbagai negeri dari satu pilihan raya umum ke satu pilihan raya umum lain. Barangkali, Lim Kit Siang boleh bermula dengan menyenaraikan apa yang telah beliau lakukan untuk pengundi di Gelang Patah, yang memilihnya sebagai Anggota Parlimen pada pilihan raya umum lepas memandangkan beliau kononnya begitu bagus dalam menghakimi rekod perkhidmatan anggota parlimen lain," kata Kurup.

Beliau juga mengingatkan Lim bahawa rakyat Sabah tidak pernah lupa tentang seseorang yang namanya bermula dengan huruf "M", yang ramai menganggapnya sebagai bertanggungjawab sebahagiannya bagi beberapa masalah paling lama dan hingga kini masih membelenggu Sabah, dan seseorang yang amat dibenci DAP suatu ketika dulu, tetapi kini kelihatan menjadi kawan Lim yang paling rapat.

"Dalam menyambut tahun baharu dengan semangat positif, sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan amat ingin dan bersemangat untuk melihat wujudnya sebuah negara Malaysia yang lebih baik dan marilah kita sama-sama bersatu hati dalam mengorak langkah ke arah mencari cara terbaik untuk menjadikan kampung halaman kita ini sebuah tempat yang lebih sejahtera untuk generasi kita yang akan datang," kata Kurup. -- Bernama