'Tolong bersihkan lokap saya, mungkin ada penghuni baharu' - Anwar

Sahlizah Mohamed
April 4, 2019 16:55 MYT
Anwar bagaimanapun tidak menyatakan siapa individu yang dimaksudkan bakal menjadi penghuni lokap itu. - Foto Astro AWANI/Sahlizah Mohamed
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh meminta lokap yang dihuni selama 20 tahun agar dibersihkan kerana kemungkinan tirai besi itu akan dihuni oleh penghuni baharu.
Anwar bagaimanapun tidak menyatakan siapa individu yang dimaksudkan bakal menjadi penghuni lokap itu.
“Bulan lalu saya ada panggil 'guard' dan pengawal penjara Sungai Buloh, bagi mereka makan. Saya ingat jasa baik mereka. Jasa buka pintu, kunci pintu saya, jasa kawad sebelah saya.
“Lepas tu saya tanya lokap saya dulu masih kosong ke? (Jika) Masih kosong. Saya minta tolong bersihkan. Sebab apa? Sebab mungkin ada penghuni baru,” katanya.
Anwar berkata demikian di hadapan sekitar 1,500 orang yang hadir pada ceramah sempena Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau, Khamis malam.
Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Bagaimanapun, Anwar memberitahu, itu bukan keputusannya tetapi keputusan mahkamah.
“Ini negara hukum. Kena terima keputusan berdasarkan hukum dan fakta.
“Walaupun begitu, masih ada orang nak berjumpa dengan dia. Ambil duit puluhan bilion, rugikan Tabung Haji puluhan bilion, rugikan Felda puluhan bilion,” katanya.
Ujarnya, ia sekali gus menunjukkan bahawa semangat reformasi masih belum tersemat di dalam hati rakyat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, bahawa ia merupakan cabaran yang peru ditempuh untuk menyedarkan rakyat yang dahulunya menjadi mangsa penipuan.
“Maknanya tanggungjawab dalam kempen masih berterusan. Kita kena turun kerana tanggungjawab.
“Bukan marah atau sinis, tetapi kita beri penjelasan. Jangan lagi sokong orang yang rompak harta dan khazanah negara,” katanya lagi.
#Ahli Parlimen Port Dickson #Anwar Ibrahim #bersihkan lokap saya #Dataran Rantau #penguni baru #Presiden PKR #prk rantau #Rantau Memilih #Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi