TARIKH 9 Mei nanti tentunya mendebarkan bagi Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bertanding kerusi P005 Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Menteri Besar Kedah itu bakal berdepan saingan dari Gagasan Sejahtera yang mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Kawasan Jerlun, Abdul Ghani Ahmad dan calon dari UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Sehingga artikel ini ditulis, BN belum menamakan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Jerlun namun cakap-cakap politik mengatakan penyandang kerusi tersebut yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz mungkin dikekalkan.

Siapa calon BN di P005 Jerlun?
Muhkriz bakal berdepan cabaran dari calon Barisan Nasional dan Gagasan Harapan pada PRU14 nanti. - Gambar Astro AWANI

Biarpun belum diumumkan siapa yang akan BN pertaruhkan di kerusi parlimen itu, Othman menegaskan UMNO langsung tidak kisah di mana Mukhriz mahu bertanding.

Katanya, kepimpinan UMNO Bahagian itu akan tetap bekerja keras untuk rakyat di kawasan parlimen berkenaan. Melipat gandakan usaha dengan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Selain Othman, Pas turut yakin calon yang mereka pertaruhkan mewakili Gagasan Sejahtera mampu memberi saingan kepada BN dan juga Mukhriz di kerusi Parlimen Jerlun.

Pada PRU12, Mukhriz menang kerusi parlimen Jerlun dengan menewaskan calon Pas Idris Ahmad dengan majoriti 2,205 undi.

Muhkriz memperolehi 19,424 undi manakala Idris pula mendapat 17,219 undi.

Othman pula memenangi kerusi Parlimen Jerlun pada PRU13 dengan memperolehi 24,161 undi mengalahkan calon Pas yang mendapat sebanyak 20,891 undi. Othman menang dengan majoriti 3,270 undi.

Jika dilihat kembali dua keputusan pilihanraya itu, Mukhriz menang kerusi Parlimen Jerlun di waktu rakyat Kedah menolak BN dan membolehkan gabungan pembangkang yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat merampas Kedah.

Pada PRU13, Mukhriz bertanding kerusi DUN Ayer Hitam dan menang kerusi tersebut seterusnya dilantik sebagai menteri besar Kedah sebelum melepaskan jawatan pada awal 2016 ekoran kemelut politik yang melanda negeri Jelapang Padi itu.

Pada tahun yang sama Mukhriz dipecat dari UMNO bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan timbalan presiden parti.

Biarpun UMNO menyatakan keyakinannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun, namun calon yang akan dipertaruhkan untuk berdepan cabaran Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera belum diumumkan lagi.

Mampu pertahankan Jerlun atau sebaliknya, kehadiran Mukhriz sedikit sebanyak mengerunkan BN.

Satu perkara yang tidak boleh ditolak oleh BN dan juga Gagasan Sejahtera, Mukhriz pernah menjadi menteri besar Kedah selama hampir tiga tahun dan sumbangannya bukan sedikit.

Sama ada Mukhriz banyak bergantung kepada populariti bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad atau tidak, hanya pengundi Jerlun akan mementukannya.

Begitu juga calon yang akan mewakili BN dan Gagasan Sejahtera, pengundi di Jerlun (yang tentunya bukan malaikat) akan menentukan nasib mereka.

Antara ketiga calon yang akan bertanding, tumpuan tentunya diberikan kepada Mukhriz. Tumpuan kerana beliau anak Tun Dr Mahathir yang begitu sentimental bagi rakyat Kedah.

Selain itu, Mukhriz adalah bekas menteri besar negeri jelapang padi itu yang digambarkan oleh penyokongnya sebagai telah dikhianati.

Tarikh 9 Mei nanti bakal menentukan tuah nasib Mukhriz di Jerlun.

Keutamaan pengundi di Jerlun