SHAH ALAM: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kebimbangan terhadap tahap perpaduan antara ahli dan kepimpinan dalam partinya.

Tanpa memberikan sebarang perincian berkenaan individu atau kumpulan dimaksudkan, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, terdapat kenyataan dikeluarkan terhadap kepimpinan Pas dilihat dilakukan tanpa adab dan hikmah.

“Kadang kala, sehingga kita rasai seolah pimpinan kita tidak mengetahui apa yang kita ketahui. Bahkan ada yang menegur pimpinan tentang bahaya musuh seolah-olah pimpinan tidak mengenali musuh.

“Wahai sahabatku, ukhuwah ini lahir daripada hormat serta thiqah (mempercayai) kita dan di waktu yang sama adalah akhlak kita.

“Engkau tidak mungkin merasainya tanpa sifat tersebut. Lantaran itu, belajarlah untuk menghormati orang lain atau pandangan yang berbeza dengan kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Pada November tahun lalu, tular audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Presiden parti itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tuan Ibrahim bagaimanapun dalam bulan yang sama menyatakan bahawa perkara itu merupakan komentar biasa dan tidak memiliki sebarang agenda baharu.

Katanya, Pas sentiasa terbuka dan menghormati perbezaan pandangan yang disuarakan oleh ahli parti. - Sinar Harian