Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang mungkin mahu menubuhkan parti baharu hanya akan melebarkan lagi jurang perpecahan rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee.

Tegas Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras itu, masa dan persekitaran politik masa kini juga sudah tidak relevan lagi buat bekas perdana menteri itu untuk berbuat demikian dan mengejar kedudukan sebagai perdana menteri buat kali ketiga.

"Saya melihat rakyat di bawah terutama orang Melayu sudah tidak dapat lagi menerima percaturan politik Dr Mahathir, berbeza sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya yakin penyatuan rakyat akan berpecah-belah dan orang Melayu khususnya akan terus bergeseran hanya kerana perbezaan politik yang dicaturkan oleh individu berkepentingan.

"Sama ada Dr Mahathir akan menubuhkan parti baharu atau menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), ia tidak akan memberi sebarang keuntungan politik kepada beliau," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Terdahulu, Bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya menegaskan, keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu atau menyertai Warisan hanya akan diputuskan selepas 7 Ogos ini.

Katanya, sebarang ketetapan hanya akan dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada membenarkan permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan saman oleh Dr Mahathir dan empat yang lain berhubung tindakan pemberhentian keahlian mereka daripada parti.

Dalam pada itu tegas Syed Ali, tindakan itu menjadikan rakyat mengesahkan Dr Mahathir mahu jawatan Perdana Menteri sehingga masih ghairah berpolitik termasuk kemungkinan menubuhkan parti baharu.

"Atas faktor usia sudah begitu lanjut yang sepatutnya bersara daripada politik, Dr Mahathir pada hemat saya tidak sewajarnya membiarkan dirinya menjadi bahan cercaan masyarakat.

"Dalam hal ini, segelintir pengikut mantan perdana menteri itu terutama bekas ahli Bersatu sewajarnya berani memberikan nasihat berguna, bukannya menyogokkan dengan sanjungan dan harapan palsu kepada Dr Mahathir sehingga beliau menjadi keliru dan tidak mampu membuat pertimbangan rasional," ujarnya.