Tukar pimpinan kerajaan DUN Perak satu penderhakaan, pengkhianatan - Exco

Fareez Azman
Disember 4, 2020 08:36 MYT
ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dari PAS menyifatkan tindakan menukar pemimpin kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri adalah penderhakaan dan pengkhianatan kepada negara, bangsa dan agama. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menukar pemimpin kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah satu penderhakaan dan pengkhianatan.
Demikian tegas Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berhubung tindakan itu.
"Maka usul yang dibawa Pengkalan Baru ini amat tepat sekali untuk kita di barisan ini untuk memberi sokongan kepada Chenderiang," katanya semasa berucap sebelum pengundian usul percaya terhadap Menteri Besar Perak dijalankan pada pagi Jumaat.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Undi Percaya DUN Perak - Faizal gagal peroleh sokongan majoriti
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perak dan ADUN Gunung Semanggol itu berkata, ketika ini kerajaan dan negara berdepan pelbagai masalah yang timbul terutamanya pandemik COVID-19, justeru perlu ada kesungguhan semua pihak untuk menangani isu ini.
"Saya dengan ini mengajak dan menyokong penuh usul dibawa Pengkalan Baru dan kita akan melihat seluruh masyarakat sekiranya usul untuk menjatuhkan dan menukar kerajaan dalam situasi negara dan rakyat dilanda pandemik ini, pada saya, adalah penderhakaan dan pengkhianatan kepada negara bangsa dan agama kita," katanya lagi.
Terdahulu, Sidang DUN Perak menyaksikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh majoriti usul undi percaya terhadapnya.
48 ADUN didapati tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.
#PAS #Pakatan Harapan #Menteri Besar #ADUN #kerajaan #COVID-19 #Bersatu #UMNO #PKR #Amanah #DAP #Perak #sidang Dewan Undangan Negeri #penderhakaan