KUALA LUMPUR:Sering kali dilabel sebagai seteru, namun petang ini dua veteran politik tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah akan mengadakan sidang media khas secara bersama di ibu negara.

Walaupun masih tidak dipastikan tujuan sebenar sidang media tersebut diadakan, pemerhati berpendapat ia pasti berkait rapat dengan situasi politik semasa yang tidak menentu.

Terutamanya apabila Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menerima cabaran dari dalaman dan luaran, terutamanya dari blok Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad, ia akan dilakukan di Yayasan Albukhary pada pukul 4 petang ini.

“Sila patuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia dan memakai pelitup muka (facemask) sepanjang berada di bangunan yayasan ini.

“Setiap agensi media dibenarkan menghantar tiga wakil sahaja. Sidang media ini juga boleh diikuti melalui Facebook Page Rasmi Dr Mahathir bin Mohamad,” menurut jemputan media itu lagi.

Pada 16 Oktober lepas, sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa Tengku Razaleigh, lebih dikenali sebagai Ku Li, secara terbuka telah menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa beliau telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

BACA: Tun Mahathir, Tengku Razaleigh adakan sidang media petang ini

Menurut sumber, perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh ahli kerabat Kelantan itu kepada Dr Mahathir, dalam satu pertemuan makan malam antara kedua-dua pemimpin politik veteran berkenaan di kediaman Ku Li, kira-kira sebulan yang lepas.

Pada 23 November lepas, Ku Li telah menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan masa kini tidak dapat ditentukan.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu menjelaskan, mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada perdana menteri dan jemaah menteri sah atau tidak dalam jawatan, akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan.

Sementara itu, dalam temu bual khas Astro AWANI bersama Dr Mahathir pada 25 November lepas, bekas Perdana Menteri itu memberitahu bahawa Ku Li sewaktu makan malam itu memaklumkan boleh mendapatkan bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk menukar Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, apa yang berlaku adalah sebaliknya, dan ketika ini putera kerabat Kelantan itu sedang berusaha untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai legitimasi (keabsahan).

“Dia (Tengku Razaleigh) adalah di sebelah kerajaan. Dia mempunyai cadangan kononnya untuk kita tukar kerajaan.

“Dia berpendapat bahawa dia boleh cari cukup orang daripada pihak kerajaan untuk keluar daripada kerajaan. Tetapi benda itu tak berlaku,” katanya dalam program khas Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad terbitan Astro AWANI.