JITRA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau kini tidak lagi bersama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan memegang apa-apa jawatan dalam gerakan berkenaan.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas menyedari bahawa GTA tidak dapat berfungsi dengan baik selain gagal menarik sokongan pengundi terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November lepas.

"(Jawatan Pengerusi GTA) yang itu (perkara) lama... (kini saya) tidak ada (sebarang jawatan), (matlamat penubuhan) GTA tidak jadi, (GTA) tidak membantu kita (untuk menang pilihan raya), kerana ia (berbentuk) parti,

"Kita dapati kalau (bergerak) sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), GTA dan (Parti) Pejuang (Tanah Air) kalah 125 kerusi (yang ditandingi selain hilang deposit),

"GTA (sebelum ini juga) kita tidak (dapat) register, (kita) belum register (sebagai sebuah parti yang sah), (oleh kerana) GTA 'not functioning' dan tidak bergerak, (saya kini tidak bersama mereka)," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini, malam tadi (Khamis).

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir memaklumkan, beliau kini bergerak melalui medium Proklamasi Orang Melayu selain tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.

Medium berkenaan, jelas bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, berupaya memberi kesedaran kepada orang Melayu di negara ini tentang nasib mereka yang dilihat sudah kehilangan kuasa di negara sendiri.

Tambah beliau, sekiranya penyatuan dalam kalangan kaum Melayu tidak dapat direalisasikan, kedudukan kaum berkenaan di Malaysia juga akan semakin terhakis dari hari ke hari.

Awal Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersama 12 lagi ahli yang lain.

Menerusi satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan GTA.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, masih terlibat dalam arena politik sebagai Pengerusi GTA.