KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman akan datang. 

Walaupun proses memuktamadkan calon sedang dalam perbincangan, Presiden Pas itu berkata adalah tidak munasabah untuk mencalonkan bekas Perdana Menteri itu dalam pilihan raya berkenaan.

"Dalam proses perbincangan (untuk muktamadkan calon).

"(Adakah Tun M akan dicalonkan? Tidak dan tidak... Tidak munasabah lah. Kalau nak timbulkan, biar munasabah," katanya dalam sidang media di selepas merasmikan Muktamar Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, pada Jumaat.

Media sebelum ini mendakwa Pas kemungkinan meletakkan Dr Mahathir sebagai calon dalam PRK Kemaman.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Khamis ketika ditanya perkara sama berkata: "Semua rakyat Malaysia berhak menjadi calon tidak kira dari negeri mana memandangkan Kemaman ialah kerusi Parlimen."

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas selepas pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman berlangsung 2 Disember.

Pengundian awal ditetapkan pada 28 November manakala penamaan calon 18 November.