Tun Mahathir dan isteri umum keluar UMNO

Astro Awani
Februari 29, 2016 08:50 MYT
Veteran politik ini mengumumkan penarikan dirinya di sini hari ini.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan penarikan diri dari parti UMNO berkuatkuasa serta-merta hari ini.
Pengumuman itu dibuat di satu sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Ahli politik veteran itu berkata keputusan itu dibuat berikutan parti di bawah kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak itu tidak lagi sama dengan UMNO yang terdahulu.
"Saya ingin meninggalkan UMNO kerana ia bukan lagi UMNO. Ia adalah parti yang kini hanya menyokong Najib, 'melindungi' Najib dan saya tidak boleh menjadi ahli parti sedemikian."
"Pada saya, ia bukan lagi parti UMNO, tetapi parti Najib, " katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dr Mahathir memberi jaminan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan tiada hasrat untuk menubuhkan parti politik baharu.
"Tidak. Dalam hati, saya tetap ahli UMNO," katanya.
Ditanya sama ada beliau sudah menyerahkan surat rasmi kepada setiausaha agung parti berhubung keputusannya itu, Dr Mahathir berkata beliau belum berbuat demikian dan hanya membuat kenyataan pada sidang media hari ini.

Bekas PM Tun Dr Mahathir umum keputusan untuk meninggalkan UMNO dlm satu sidang media di Putrajaya @501Awani pic.twitter.com/UeTk59sadF

— Su Lin (@sunshinesulin) February 29, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Beliau turut mengumumkan penarikan diri isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dari parti tertua di negara ini.
Wartawan yang menghadiri sidang media berkenaan menerima dua keping kenyataan media yang beberapa mengandungi dakwaan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Namun, sumber dari mana kenyataan media itu diperolehi tidak dapat dikenal pasti.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan polis akan memulakan siasatan ke atas Dr Mahathir berkenaan kandungan blognya yang dilaporkan mempunyai unsur fitnah.
Polis Diraja Malaysia minggu lalu telah merakam keterangan Dr Mahahir berhubung laporan terhadap kandungan laman blognya yang didakwa memiliki unsur fitnah terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.
BACA: Polis rakam percakapan Tun M hari ini - KPN
BACA: Polis akan mulakan siasatan ke atas Tun Mahathir - KPN
Ini adalah kali kedua beliau keluar dari parti yang diketuainya dari 1981 to 2003.
Dr Mahathir keluar dari UMNO buat pertama kalinya pada tahun 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Menurut Dr Mahathir tindakan beliau keluar parti pada ketika itu kerana tidak yakin dengan kepimpinan Abdullah.
Semasa membuat pengumuman itu beliau berkata hanya akan kembali menjadi anggota UMNO selepas Abdullah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.
Beliau menyertai UMNO kembali sehari selepas Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 4 April, 2009.
Dr Mahathir juga pernah dipecat keanggotaannya dalam UMNO pada 26 Sept 1969 atas sebab-sebab disiplin semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan kembali ke pangkuan UMNO pada 7 Mac, 1972 di era pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.
#Khalid Abu Bakar #Najib Razak #Tun Dr Mahathir umum keluar UMNO #Yayasan Kepimpinan Perdana