[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
POLITIK

UMNO akan pertimbang usul tarik balik penggantungan keahlian Hishammuddin - Mohamed Khaled

Bernama 22/06/2025 | 09:45 MYT
Menteri Pertahanan, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bercakap kepada media selepas hadir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini. - Foto BERNAMA
BATU PAHAT: UMNO akan mempertimbangkan usul bagi menarik balik penggantungan keahlian bekas Naib Presidennya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ringkasan AI
  • UMNO sedang mempertimbangkan usul untuk menarik balik penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas menerima cadangan daripada UMNO Bahagian Sembrong.
  • Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa usul tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti.
  • Asyraf juga menyeru MCA supaya bersabar dan mengadakan rundingan sebelum membuat keputusan berkaitan pembubaran Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menjadi tradisi dan amalan kepimpinan parti untuk meneliti setiap usul yang dikemukakan oleh bahagian-bahagian UMNO sempena mesyuarat perwakilan.
"Itu adalah usul yang dibawa oleh satu daripada keseluruhan 191 bahagian UMNO di seluruh negara.
"Seperti bahagian-bahagian lain, usul itu akan dihantar ke Ibu Pejabat UMNO untuk dikaji dan dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata setakat ini UMNO belum menerima sebarang rayuan daripada bekas pemimpin kanan negara itu, namun usul penarikan semula penggantungan tersebut tetap akan diteliti dan dipertimbangkan.
"Buat masa ini, hanya terdapat usul, dan kita akan pertimbangkannya. Sama ada individu tersebut (Hishammuddin) telah menghantar rayuan atau tidak, saya tidak mahu mengulas lanjut," katanya.
Semalam, UMNO Bahagian Sembrong membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat.
Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, ini merupakan tahun kedua usul itu dibawa oleh bahagian berkenaan, selaras dengan kehendak majoriti ahli perwakilan yang mahu Hishammuddin kembali aktif dalam parti.
Untuk rekod, Hishammuddin dikenakan penggantungan keahlian selama enam tahun bermula 27 Jan 2023.
Sementara itudi PAHANG, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu terbuka untuk menerima dan membincangkan usul berkenaan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan datang.
"UMNO adalah parti yang terbuka dan kita telah menerima ramai pimpinan UMNO untuk mengemukakan rayuan dan diterima oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
"Namun dalam hal ini, saya menerima apa-apa usul yang dikemukakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rompin, di Muadzam Shah.
Mengulas mengenai usul beberapa bahagian MCA yang menggesa supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan pada mesyuarat agung tahunan parti itu, Asyraf menyeru agar parti komponen berkenaan bersabar dan membuat keputusan yang lebih realistik serta praktikal.
"Semua parti komponen mempunyai kerusi sedia ada, dan kita mesti pastikan kita kekalkan kemenangan 30 kerusi yang telah dimenangi. Jika kita ingin menambah kemenangan, rundingan bersama kepimpinan tertinggi perlu diadakan. Kita (UMNO) sangat terbuka untuk berbincang mengenai perkara ini," katanya.
Semalam, media melaporkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kepimpinan tertinggi parti itu akan mengambil kira maklum balas akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju masa depan MCA.
Mengulas isu yang sama di KUALA KANGSAR, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dibincangkan bersama ahli MKT yang lain sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Jad, kemukakanlah...bawa cadangan itu ke mesyuarat Majlis Tertinggi, saya akan beri komen," katanya ketika ditemui pada program Dialog@KPK Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di Dewan Persatuan India, di sini hari ini.
-- BERNAMA
#UMNO #pertimbang tarik balik penggantungan #Hishammuddin Hussein #Mohamed Khaled Nordin