Skip to main content

Politik

UMNO-BN tidak akan 'hentam' peribadi lawan dalam kempen PRN Johor, Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 10 Jun -- Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan sidang media Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn hari ini._BERNAMA
Asyraf Wajdi berkata, keputusan itu diputuskan dalam satu ketetapan yang jelas dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu lalu. - Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) sama sekali tidak akan menjadikan serangan peribadi terhadap pihak lawan sebagai modal kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tumpuan kempen akan terarah kepada tawaran dasar yang bermanfaat kepada rakyat.

“Bagi parti UMNO dan Barisan Nasional, kita telah pun buat satu ketetapan yang jelas dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang lepas. Kita tidak fokus kepada hentam lawan peribadi.

“Kita menyatakan apa dasar yang kita mahu tawarkan kepada rakyat… dan paling penting sekali ialah tawaran-tawaran ini yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat, itu akan menjadi fokus kempen kita,” katanya selepas menghadiri perasmian Tribunal Bagi Antibuli, di sini, pada Selasa.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi dan senarai calon UMNO bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata, ia dijangka dimuktamadkan minggu depan.

Jelasnya, keputusan itu penting bagi membolehkan gerak kerja kempen disusun lebih awal.

“Kita sedang dalam perundingan, Insya-Allah minggu depan kita muktamad semuanya bagi senarai calon di dua negeri itu,” katanya.

Ditanya kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dalam tempoh terdekat, Asyraf Wajdi bagaimanapun berkata, perkara itu adalah prerogatif Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Itu kena tanya Ketua Menteri Melaka,” ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement