KUALA LUMPUR: UMNO boleh menjalankan kerjasama dengan musuh politik antaranya dalam isu faedah kepada rakyat, pemulihan Parlimen dan ekonomi negara.

Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn bagaimanapun berkata, kerjasama lain termasuk penjajaran politik bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DAP tidak akan berlaku seperti ditetapkan parti sebelum ini.

"Dari segi kerjasama untuk menubuhkan kerajaan saya rasa itu tidak mungkin berlaku kerana UMNO sudah melakukan ketetapan jelas baik di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mahupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"Tetapi untuk mewujudkan kerjasama lain yang mencambahkan faedah kepada rakyat sudah tentu boleh. Umpamanya bekerjasama dalam soal pemulihan Parlimen, kerjasama untuk memulihkan ekonomi di dalam membentuk kaukus bersama pembangkang atau perkara meluluskan bajet.

"Ini merupakan kerjasama lain, saya mengandaikan bahawa kerjasama untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan PKR itu tidak mungkin dilaksanakan," katanya semasa sidang maya di sini pada Selasa.

BACA: Zahid nafi calonkan diri sebagai PM, cadang 'War Cabinet'

BACA: Harus lantik PM baharu secepat mungkin - Penganalisis

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menjelaskan, parti itu akan mencadangkan beberapa nama untuk mengetuai sebuah kerajaan baharu yang akan dibentuk susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ahmad Zahid juga mencadangkan agar sebuah kerajaan yang stabil untuk satu tempoh yang munasabah dan memberi perhatian kepada usaha melawan pandemik COVID-19 ditubuhkan.

Dalam pada itu kata Bastien, Perdana Menteri ke-9 berkenaan perlu berjiwa besar dan diterima pelbagai parti serta pihak.

Ujarnya, pemimpin itu perlu menyelesaikan polemik politik negara yang mahu penyelesaian pelbagai isu merangkumi ekonomi serta kebajikan rakyat.

"Polemik yang ada sekarang ini sudah tentu menyukarkan keadaan negara untuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan politik.

"Mana-mana pemimpin yang akan menjadi perdana menteri haruslah mempunyai sokongan daripada pelbagai pihak. Kalau dilihat daripada rumpun Perikatan Nasional (PN) sahaja, ia mungkin sukar kerana sudah tentu kerana Ahli-ahli Parlimen Bersatu mempunyai perasaan marah dan akan menyukarkan perundingan untuk menentukan siapakah perdana menteri.

"Tetapi nama yang akan diunjurkan itu harus diterima ketiga-tiga parti dalam PN," jelasnya.

Sebelum ini, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian menegaskan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebabkan wujud percanggahan dalaman terutamanya berhubung agenda rakyat.

Jelasnya, konteks penjajaran baharu seharusnya dipraktikkan dalam melantik Perdana Menteri bagi menangani fasa polemik politik yang melanda negara ketika ini.


Perkembangan Politik | Pembentukan kerajaan baharu