SEREMBAN: UMNO bukan lagi parti keramat sekiranya masih terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, dalam gabungan PH dan Barisan Nasional (BN), DAP mempunyai paling banyak kerusi dengan 40 kerusi Parlimen.

Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) memiliki 31 kerusi dengan UMNO ada 30 kerusi dan menurut Shahidan, situasi itu menjadikan UMNO kini parti nombor tiga dalam gabungan tersebut.

“Kalau mereka bekerjasama terus sampai pilihan raya akan datang, bermakna UMNO bukan lagi parti utama, parti keramat lah kan.

“Tapi kalau UMNO dengan kami, Insya-Allah mereka akan didukung bersama tapi saya rasa Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ini tak sesuai lagi pimpin UMNO sebab dia adalah beban.

“Saya percaya kalau dia minta undi seluruh ahli UMNO, adakah sokong atau tidak mereka bersama DAP, sudah pasti orang UMNO akan tolak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas siri kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini, pada Rabu malam.

Tambah bekas ahli UMNO itu, Ahmad Zahid kini bukan hanya beban kepada UMNO tapi menjadi beban kepada PH juga.

Tegasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh ‘menjadi hebat’ dengan adanya Timbalan Perdana Menteri yang terpalit isu rasuah, duduk bersebelahan dengannya.

“PH sekarang bergaduh dengan kami habis-habisan kerana dia ada di sana. Sebab dia merupakan liabiliti.

“Kerana apa? Anwar kata kami lawan rasuah, tangkap orang sakau tapi macam mana dia (Ahmad Zahid)?

“Dia kata kesnya berada di mahkamah, lepas itu kes itu Ketua Pendakwa Raya tarik diri. Kemudian dengar cerita kes ini akan dilihat semula.

“Ini semua kerja-kerja yang akan mengancam Anwar sebagai Perdana Menteri yang nak jadi hebat,” ujarnya.