POLITIK

UMNO cadang pembentukan gabungan besar parti Melayu Islam - Ahmad Zahid

Pia Ernadya 17/01/2026 | 12:01 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan itu telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada perwakilan selepas dibentangkan dalam perhimpunan parti. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO menyatakan hasrat untuk membentuk sebuah gabungan besar yang melibatkan beberapa parti politik Melayu-Islam bagi mewujudkan penyatuan dari segi pemikiran dan gerak kerja dalam usaha memperkukuhkan agenda Melayu dan Islam.


Ringkasan AI
  • UMNO menyatakan hasrat untuk membentuk sebuah gabungan parti Melayu-Islam bagi memperkukuhkan agenda Melayu dan Islam.
  • Cadangan kolaborasi disambut baik dan dianggap sebagai langkah awal penting ke arah penyatuan yang lebih besar.
  • Perbezaan pendekatan dengan Muafakat Nasional ditegaskan; kolaborasi ini berbeza dan lebih baik daripada pendekatan sebelum ini.


Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan itu telah mendapat persetujuan sebulat suara daripada perwakilan selepas dibentangkan dalam perhimpunan parti.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan utama semua parti yang berhasrat mengadakan kolaborasi ini.

"Kita akan mulakan dengan 'top 10', iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden serta Setiausaha Agung dan pimpinan kanan parti-parti berkenaan," katanya dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.

Beliau menambah, kolaborasi itu bersifat longgar (loose collaboration) dan bukan penubuhan sebuah parti politik baharu, namun disifatkan sebagai langkah awal yang penting ke arah penyatuan lebih besar.

Dalam pada itu, Zahid berpandangan gabungan berkenaan mempunyai pendekatan yang berbeza berbanding Muafakat Nasional.

Oleh itu, beliau menolak penggunaan istilah Muafakat Nasional 2.0, dengan menjelaskan bahawa Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak sesuai digunakan semula bagi kerangka kerjasama baharu tersebut.

“Ini bukan sebuah parti, tetapi satu kolaborasi. Ia bukan sama seperti Muafakat Nasional, malah lebih baik,” tegasnya.

“Kita tidak menggunakan istilah Muafakat Nasional kerana ia telah didaftarkan sebagai sebuah NGO. Kolaborasi ini adalah pendekatan baharu,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha tersebut bertujuan mewujudkan kesepaduan pemikiran dan tindakan politik Melayu-Islam secara lebih tersusun dalam mendepani cabaran semasa landskap politik negara.





#UMNO #gabungan besar #parti Melayu-Islam #Ahmad Zahid Hamidi