KUALA LUMPUR: UMNO akan menghantar wakilnya bagi menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-72 yang dijadual berlangsung di Kota Bharu, pada awal bulan depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah memutuskan untuk menyertai muktamar berkenaan, namun individu yang akan mewakili parti itu masih belum dimuktamadkan.
"Kita sememangnya akan menghantar wakil ke muktamar tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata, bahawa jemputan rasmi telah dihantar kepada pemimpin kanan UMNO pada Rabu lalu bagi menghadiri muktamar yang dijadual berlangsung pada 4 dan 5 September.
Muktamar Tahunan Pas ke-72 itu dijangka dirasmikan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 4 September.