POLITICS
UMNO jangan dibuai dengan kemenangan Nenggiri, Mahkota, Ayer Kuning – Ahmad Zahid
Menurut Ahmad Zahid, biarpun UMNO menang di PRK, Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning, namun ia tidak bermakna mereka boleh leka dengan 'kemenangan kecil'. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Biarpun UMNO sudah mula menyaksikan tanda-tanda kebangkitan, khususnya kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK), Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning, namun ia tidak bermakna mereka boleh leka dengan ‘kemenangan kecil’.
Ringkasan AI
- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa kemenangan di PRK Nenggiri, Mahkota, dan Ayer Kuning bukan alasan untuk berpuas hati, kerana cabaran besar seperti PRN Sabah, Melaka, Johor, dan PRU ke-16 sedang menanti.
- Kerajaan Perpaduan demi kestabilan Zahid menjelaskan bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan melibatkan 18 parti politik dan bukan sekadar persekongkolan eksklusif, sebaliknya langkah penting untuk menjamin kestabilan negara.
- Seruan memperteguh kepercayaan dalam UMNO Beliau menyeru ahli parti agar bersatu tanpa syak wasangka, mengelakkan persengketaan dalaman, dan terus memperkukuh kepercayaan demi memastikan kelangsungan perjuangan UMNO.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan tersebut adalah milik seluruh jentera yang berjuang tanpa mengenal lelah — di medan hadapan mahupun di balik tabir.
Namun tegasnya lagi, medan peperangan yang jauh lebih besar sedang menanti di hadapan, dengan beberapa siri pilihan raya negeri dan pilihan raya umum dalam tempoh dua tahun ke hadapan.
“Kita mesti melangkah ke medan perang dengan naratif yang lebih segar, komunikasi yang lebih strategik, dan gerak kerja yang lebih tajam, lebih tuntas, lebih berani. PRN Sabah bakal membuka gelanggangnya, disusuli PRN Melaka, PRN Johor, dan akhirnya, perang besar yang bakal menentukan nasib dan masa depan negara — PRU ke-16.
“Janganlah ada di antara kita yang bersengketa, apatah lagi terbuai dalam jerat persepsi dan sentimen yang hanya melemahkan parti. Mungkin sudut pandang kita berbeza, tetapi bergeraklah senada, kerana di situlah kunci untuk mengembalikan sokongan rakyat semula,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Sambutan Hari UMNO Ke-79 dan Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, beliau sedar ada pihak yang mempertikai keikhlasan UMNO dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, termasuk menghasut rakyat bahawa UMNO kini tunduk kepada DAP.
“Hakikatnya, ini bukan persekongkolan eksklusif. Ini adalah keputusan kenegaraan. Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS, GRS, Warisan dan lain-lain.
“Ia adalah kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan. Dan kepada mereka yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman, ingatlah — merekalah juga yang pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif, juga Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya,” katanya lagi.
Malah, Ahmad Zahid berkata, pihak itu jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan UMNO pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo Keadilan.
“UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP, UMNO juga tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi maqam Khalifah Umar Abdul Aziz.
“Lebih ironi, ketika UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, tetapi berselindung di sebalik retorik agama. Inilah hipokrasi politik yang sebahagian daripada kita mula termakan,” tegasnya lagi.
Justeru Ahmad Zahid berkata, beliau memohon kepada seluruh ahli dan pimpinan UMNO berhenti menanam syak wasangka dan bangkit memperteguh kepercayaan.
Tegasnya lagi, segala keputusan besar yang diambil bukan berdiri atas satu bahu semata, tetapi lahir daripada musyawarah kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini.
“Setiap keputusan pasti mendatang cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada yang tercela - tetapi percayalah, selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan.. kalian semua berikan,” katanya lagi.