Skip to main content

Politik

'UMNO jangan leka ancaman pembangkang' - Syed Ali

81434868733_syedalialhabshee.jpg
UMNO perlu berwaspada terhadap usaha pihak tertentu yang cuba menghancurkan parti itu yang mahu meruntuhkan sistem demokrasi di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pembangkang kini sengaja membangkitkan keresahan di kalangan masyarakat dengan mencetuskan pelbagai isu yang sarat dengan fitnah, adu-domba dan kempen memburuk-burukkan pemimpin UMNO.

"Walau apa pun cabaran dan situasinya,  UMNO tidak boleh leka terhadap ancaman pihak tertentu yang mahu meruntuhkan kestabilan ekonomi dan politik negara ini.

"Pembangkang terutama DAP dan PKR mahu melihat UMNO kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Mereka mahu menghancurkan UMNO kerana apabila UMNO berkubur, institusi Melayu juga akan turut runtuh dan ini akan membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk menguasai negara ini," tegasnya dalam catatan terbaru di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali menjelaskan, UMNO merupakan benteng kukuh kesatuan orang Melayu yang menjadi penghalang besar kepada pakatan pembangkang terutama DAP untuk menguasai Putrajaya.

"Pembangkang menggunakan pelbagai kaedah dan saluran untuk membangkitkan sentimen kebencian rakyat terhadap kerjaaan Barisan Nasional (BN) terutama menerusi media sosial.

"Menerusi media sosial, pembangkang dan golongan anti-kerajaan sengaja membangkitkan isu-isu tanpa fakta yang telah diputarbelitkan bagi menggambarkan BN khususnya UMNO berada dalam keadaan tenat," katanya.

Tambahnya, pembangkang sengaja mensensasikan berita-berita tanpa fakta dengan gambaran buruk terhadap pemimpin dan kerajaan.

"Kepimpinan UMNO dan akar umbi parti perlu sentiasa pro-aktif bagi menangkis asakan pihak lawan dengan memberi penerangan secara jelas dan telus kepada rakyat.

"Rakyat juga berhak mendapat maklumat yang tepat berkait dengan apa juga isu bagi memastikan mereka tidak mudah disogokkan dengan fakta-fakta yang tidak tepat oleh pihak lawan," ujarnya.

Syed Ali turut khuatir sikap berpeluk tubuh dan defensif di kalangan pemimpin UMNO akan memberi ruang kepada pembangkang untuk merosakkan kekuatan parti.

"Pembangkang sekarang ini giat melancarkan serangan fitnah dan menanam persepsi negatif supaya rakyat memusuhi kerajaan BN dan UMNO," tegasnya.

Menyentuh mengenai pembentangan bajet yang bakal dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini, Syed Ali berharap ianya akan memberi kelegaan kepada rakyat secara keseluruhannya.

"Saya menjangkakan bajet kali ini akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat yang kini berdepan dengan putaran ekonomi yang tidak menentu.

"Sudah tentu Najib akan memberi perhatian terhadap golongan muda dan pesara termasuk golongan kurang upaya dalam pembentangan bajet kali ini," katanya.

Mengenai kemungkinan pembangkang akan menolak usul pembentangan bajet tersebut, Syed Ali menjelaskan, pembangkang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Itu hak mereka, tetapi kita sewajarnya mendahulukan kepentingan rakyat dan negara," tegasnya.

Advertisement

Must Watch Video