POLITIK

UMNO Johor akan bawa usul terima semula Hishammuddin - Onn Hafiz

Bernama 21/06/2025 | 11:15 MYT
Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Jan 2023, bersamaan dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti. - Gambar fail
KLUANG: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan akan membawa usul daripada UMNO Bahagian Sembrong ke peringkat tertinggi parti bagi mencadangkan agar Datuk Seri Hishammuddin Hussein diterima semula dalam kepimpinan parti.

Ringkasan AI
  • Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memberi jaminan akan membawa usul UMNO Bahagian Sembrong ke peringkat tertinggi parti untuk mencadangkan agar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diterima semula dalam kepimpinan UMNO.
  • Ketua UMNO Bahagian Sembrong menyatakan ini adalah tahun kedua usul tersebut dikemukakan, mencerminkan sokongan akar umbi terhadap kepimpinan Hishammuddin yang digantung keahlian selama enam tahun sejak Januari 2023.
  • Usul ini dilihat sebagai usaha memperkukuh UMNO dalam proses pemulihan parti, dengan menekankan pengalaman luas Hishammuddin dalam kerajaan dan politik sebagai aset penting.

Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata usul tersebut merupakan manifestasi penghargaan akar umbi terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu yang banyak menyumbang kepada parti, termasuk membimbing beliau secara peribadi dalam arena politik.
"Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar berpolitik dan mengenal erti perjuangan. Orang yang membawa saya ketika itu adalah Datuk Seri (Hishammuddin)," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di sini hari ini.
Walaupun bekas Naib Presiden UMNO itu tidak hadir dalam majlis berkenaan, katanya usul yang dikemukakan oleh bahagian tersebut mencerminkan penghargaan para ahli di peringkat akar umbi terhadap kepimpinan beliau.
"Saya dimaklumkan bahawa terdapat usul daripada UMNO bahagian ini agar pucuk pimpinan menimbang semula penerimaan beliau dalam parti. Insya-Allah, saya akan membawa usul ini ke peringkat tertinggi," katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid memaklumkan bahawa ini adalah tahun kedua usul tersebut dikemukakan, selari dengan hasrat majoriti ahli perwakilan yang mahu melihat bekas Menteri Kanan Pertahanan itu kembali aktif dalam UMNO.
"Tahun lepas kita sudah bawa usul agar penggantungan terhadap beliau ditarik balik. Ahli UMNO di Sembrong jelas mahukan penggantungan itu dilepaskan tanpa syarat," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengalaman luas Hishammuddin dalam kerajaan dan parti amat diperlukan dalam usaha memperkukuh UMNO, terutama ketika parti sedang menjalani proses pemulihan.
Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Jan 2023, bersamaan dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan disiplin yang diambil parti dalam proses pembersihan dalaman, yang turut melibatkan beberapa pemimpin lain termasuk bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin; bekas Ketua Penerangan Shahril Sufian Hamdan dan bekas Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.
-- BERNAMA
#UMNO Johor #UMNO Sembrong #Hishammuddin Hussein #onn hafiz ghazi