POLITIK
UMNO junjung titah YDP Agong, utamakan kepentingan rakyat

Ujar Shahril, UMNO berharap agar ahli politik dan Ahli Parlimen parti lain turut bersama UMNO dalam hal ini. -Gambar fail
KUALA LUMPUR :Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO pada Isnin memutuskan agar semua Ahli Parlimen UMNO memberikan sokongan kepada kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menerusi satu kenyataan memaklumkan, langkah itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik di negara ini.
Kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Tuanku dalam bertitah agar semua ahli politik bersatu untuk meluluskan Belanjawan 2021 menunjukkan bahawa institusi raja sentiasa mengutamakan denyut nadi rakyat.
"Atas kesedaran tersebut jugalah Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO pada hari Isnin telah memutuskan agar semua Ahli Parlimen UMNO memberikan sokongan kepada kerajaan selaras dengan titah Tuanku untuk meredakan suhu politik.
"Semoga ahli politik dan Ahli Parlimen parti lain turut bersama UMNO dalam hal ini, dengan semangat keikhlasan yang sama bagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan terutamanya dalam senario pandemik COVID-19 yang masih menular pantas," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami