Perjuangan orang Melayu telah dikhianati oleh UMNO selama 60 tahun, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Katanya, kewujudan istilah 'ketuanan Melayu' hanyalah isu yang digunakan oleh pihak UMNO untuk mengaburi pengundi Melayu.

"Istilah ketuanan Melayu ini tidak wujud sama sekali, UMNO hanya mengunakannya selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) bagi mengekang orang Melayu daripada terus menyokong parti pembangkang ketika itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegrasi di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Menurut Khalid, ketuanan Melayu tidak langsung dicatatkan dalam Perlembangaan Persekutuan, tetapi Perlembagaan hanya mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, mempersoalkan UMNO yang kononnya ingin menjadi 'juara orang Melayu' namun gagal dalam menguruskan dan memajukan kaum itu.

"Kalau kita lihat Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditubuhkan dahulu, ia bagi membasmi kemiskinan serta mengimbangi sosioekeonomi antara kaum.

"DEB itu sendiri tidak menyatakan istilah ketuanan Melayu dan hanyalah ingin mewujudkan satu keadaan yang seimbang antara masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.

Tambah Khalid, ketuanan Melayu hanyalah satu istilah jelik dan tidak seharusnya digunakan.

"Kita sememangnya tidak mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi, seperti yang diamalkan oleh puak Nazi Jerman dan juga Israel," katanya lagi.

Dalam pada itu, Khalid juga berkata, beliau akan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sekiranya ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.