UMNO nafi Majlis Kerja Tertinggi tolak Bersatu dan PN

Fareez Azman
Februari 21, 2021 10:30 MYT
Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO menafikan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada Jumaat memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PN pada PRU-15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO menafikan laporan berita bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan menolak kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.
Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, laporan yang dibuat media mengenai penolakan kerjasama itu tidak betul dan ibu pejabat UMNO menandang serius dakwaan berkenaan.
"Ibu Pejabat memandang serius berita yang tular berkaitan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelmarin (Jumaat).
"Sebarang kenyataan mengenai keputusan MKT adalah tidak sahih melainkan ia datang dari kenyataan rasmi parti atau pimpinannya," jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu juga berkata, sebarang laporan, spekulasi dan kenyataan media lain tidak tidak boleh dirujuk sebagai pendirian atau kenyataan rasmi parti.
UMNO pada Jumaat menjalankan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU) di Janda Baik Bentong, Pahang.
Bagaimanapun, sehingga kini media belum dimaklumkan sebarang keputusan yang dibuat UMNO mengenai hubungan parti itu dengan Bersatu.
BACA: Gabung BN-PN: Ahmad Zahid 'langgar' keputusan MT - Sumber
#pilihan raya umum #PPBM #UMNO #Media #Pahang #pilihan raya #Bersatu #mkt #Majlis Kerja Tertinggi #JKS Penerangan UMNO #Malaysia #spekulasi